TUNKU Ismail   ketika sidang media di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, semalam.
TUNKU Ismail ketika sidang media di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, semalam.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mengadakan perbincangan bersama pemimpin tertinggi La Liga bagi memantapkan pembangunan bola sepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sempena kunjungan Valencia CF ke Johor Bahru, hari ini.

Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, perbincangan itu diadakan sempena kesudian Valencia CF untuk mengadakan sesi latihan bersama pemain Johor DT di Pusat Latihan Johor DT di Padang Seri Gelam, pagi ini.

Tambah Tunku Ismail, kehadiran kelab ternama dari Sepanyol melambangkan betapa seriusnya Johor DT untuk mengadakan kerjasama dan ia akan menjadi realiti dan bukan sekadar cakap-cakap kosong di media sosial.

“Sesi latihan kelab Valencia CF dan Johor DT melambangkan perhubungan antara dua kelab dan ia satu penghormatan selepas kelab Bundesliga Borussia Dortmund turut mengadakan kerjasama sebelum ini.

“Ingin saya tegaskan kehadiran kelab ternama dari Sepanyol itu bukan sekadar cerita di media sosial sebaliknya ia realiti apabila pasukan itu sudi berkunjung dan mengadakan sesi latihan di Padang Seri Gelam.

“Valencia CF mahu membuktikan kepada seluruh dunia betapa kelab itu ada kerjasama dengan Johor DT, malah saya juga akan mengadakan perbincangan dengan beberapa orang penting La Liga dalam usaha membentuk kerjasama bagi memantapkan pembangunan bola sepak Johor,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail juga merancang membawa skuad Johor DT mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab di Sepanyol termasuk menentang Valencia CF pada sesi pra-musim, Disember ini.

Bagaimanapun, perancangan itu perlu dilaksanakan secara lebih terperinci susulan jadual perlawanan membabitkan kelab Sepanyol itu tidak sama dengan jadual Liga M.

Malah, Tunku Ismail secara sinis mendedahkan betapa beliau agak risau dengan kesudian kelab gergasi dari Eropah itu untuk mengadakan sesi latihan bersama Johor DT.

“Saya risau apabila Valencia CF mengadakan sesi latihan kerana ia pasti mewujudkan persoalan kenapa dunia luar mengiktiraf Johor DT, tapi di negara ini banyak pihak lebih gemar mengkritik apa juga usaha pembangunan bola sepak yang kami lakukan,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 9:39 AM