Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Bagi memastikan program pembangunan bola sepak di Johor terus berkembang, Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal menjalinkan kerjasama dengan dua kelab gergasi Eropah awal bulan depan.

Menerusi entri terbaru Johor Southern Tigers, Tunku Ismail dijangka mengadakan perjumpaan dengan FC Barcelona dan Real Madrid CF untuk berbincang bagi memantapkan program akar umbi.

Selain kedua-dua kelab gergasi Sepanyol itu, Tunku Ismail juga merancang mengadakan kerjasama bersama satu lagi kelab negara itu, Valencia CF selain kelab ternama Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Sebelum ini, PBNJ sudah mengadakan kerjasama bersama kelab ternama Bundesliga Borussia Dortmund dan jalinan itu menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa jurulatih kelab berkenaan sudah berada di Johor untuk membimbing pasukan remaja Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menerusi program pembangunan sebagai usaha melahirkan pemain muda berkaliber.

“TMJ (Tunku Mahkota Johor) akan berkunjung ke semua kelab gergasi itu bagi meluaskan jaringan usaha sama.

“Lawatan kerja akan dimulakan dengan perjumpaan bersama pemilik dan pengurusan kelab Valencia bagi membincangkan usaha sama yang bakal dijalinkan antara kelab itu dan Johor DT selaku juara Piala AFC serta Liga Super.

“Seterusnya Tunku Ismail akan bermesyuarat bersama pengurusan Barcelona sebelum memenuhi jemputan Presiden Real Madrid Florentino Perez,” kata kenyataan itu.

Tunku Ismail turut dijadualkan bertemu Presiden PSG Naseer Al-Khelaifi bagi membincangkan peluang menjalinkan hubungan dengan kelab terkemuka Perancis itu.

Ketika ini, Tunku Ismail berada di Argentina dan dijangka pulang ke Johor, Jumaat ini untuk menyaksikan aksi Johor DT menentang Sarawak pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium, Larkin, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 8:52 AM