FUEGO (tengah) menjalani latihan bersama pemain Johor DT di Padang Seri Gelam.
FUEGO (tengah) menjalani latihan bersama pemain Johor DT di Padang Seri Gelam.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Aura La Liga yang cuba dibawa Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bakal menjadi kenyataan selepas kelab ternama Valencia CF hampir pasti mengadakan kerjasama bagi membantu program pembangunan bola sepak di Johor.

Presiden Valencia CF Chan Hay Loon berkata, perbincangan antara pengurusan kelab Johor DT dan Valencia CF tampak begitu positif dan mereka bersedia menyalurkan kepakaran kejurulatihan kepada Johor.

Malah, kehadiran lima pemain terkemuka Sepanyol iaitu kapten Paco Alcacer, Matthew Ryan, Jaume Domenech, Javi Fuego dan Santiago Mina adalah titik permulaan untuk mengadakan kerjasama yang akan terjalin dalam tempoh terdekat.

“Sudah tentu kami mahu bekerjasama dengan Johor DT yang saya anggap kelab paling berjaya di Malaysia. Malah anda semua amat bertuah selepas kami menyaksikan sendiri kemudahan pusat latihan di Padang Seri Gelam.

“Di Singapura pun tidak ada kelengkapan pusat latihan yang serba canggih dan moden. Saya sendiri kagum usaha dilakukan TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang begitu serius membangunkan bola sepak akar umbi.

“Perbincangan awal sudah diadakan ketika Tunku Ismail melawat Valencia CF. Kehadiran kami di Johor Bahru ini ibarat tanda simbolik betapa kerjasama antara Johor DT dan Valencia CF akan menjadi realiti,” katanya ketika ditemui Arena Metro selepas sesi latihan di Pusat Latihan Tertutup Datuk Suleiman Mohd Noor, semalam.

Menurut Lay Hoon, Pengarah Pemasaran Komersil Peter Draper sudah melihat tapak pembinaan Akademi Bola Sepak Johor DT ketika mengunjungi Johor dua minggu lalu dan maklum balas yang diberikan begitu positif.

Malah katanya, banyak cabang yang boleh dilakukan antara Johor DT dan Valencia CF bagi memajukan bola sepak di Johor.

“Jika semuanya berjalan lancar, kami akan membawa jurulatih dari Akademi Bola Sepak Valencia yang berpengalaman untuk membantu program pembangunan bola sepak Johor DT.

“Banyak cara kami boleh babitkan diri dengan melatih jurulatih tempatan serta memberi latihan kepada skuad utama Johor DT dalam usaha memantapkan lagi pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 8:13 AM