Ismail Sabri (tengah) merasmikan simbolik perasmian PMB SSCF, semalam.
Ismail Sabri (tengah) merasmikan simbolik perasmian PMB SSCF, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: PMB Investment Berhad (PMB Investment) menyasarkan saiz dana RM30 juta bagi dana unit amanah terbarunya iaitu PMB Shariah Small-Cap Fund (PMB SSCF) menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameer Ali Mohamed berkata, syarikat optimis mencapai jumlah itu berdasarkan ciri produk terbabit yang menawarkan risiko rendah dan rangkaian ejen yang memiliki keupayaan dalam menyampaikan maklumat berkaitan produk secara berkesan.

“Keyakinan ini juga berdasarkan prestasi dana yang diuruskan kami sendiri sebelum ini dan pelaksanaan pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran PMB SSCF, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PMB Investment, Datuk Dr Zamani Md Noor serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PMB SSCF adalah dana unit amanah ke-14 di bawah PMB Invesment di mana pelaburan produk terbaru itu akan dibuat dalam syarikat patuh syariah bersaiz kecil yang memiliki potensi untuk berkembang dan tersenarai di Bursa Malaysia.

Syarikat bersaiz kecil bermaksud syarikat yang mempunyai modal di antara RM250 juta hingga RM1 bilion dengan dana ini boleh melabur sehingga 20 peratus dalam syarikat bersaiz sederhana dengan pasaran modal melebihi RM1 bilion hingga RM7 bilion.

Beliau berkata, PMB SSCF adalah pelengkap dana ekuti pertumbuhan modal yang diuruskan syarikat dengan objektif untuk mencapai pertumbuhan modal dalam tempoh masa sederhana hingga panjang.

“Dana ini ditawar pada harga RM0.50 seunit dengan pelaburan permulaan minimum berjumlah RM100 manakala pelaburan tambahan minimum adalah RM50 dan ia akan turut memperuntukkan antara 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersihnya untuk pelaburan dalam syarikat patuh syariah tersenarai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PMB Investment menyasarkan pelancaran dua dana baru menjelang separuh kedua tahun ini dan berhasrat meningkatkan bilangan ejennya kepada 1,000 menjelang hujung tahun depan berbanding 300 ejen pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:04 AM