Menteri Pembanggunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, (empat kiri) melakukan gimik pelancaran dana terbaru PMB Investment dan sambutan Ulang Tahun ke-55 Mara Corporation. - FOTO NSTP
Menteri Pembanggunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, (empat kiri) melakukan gimik pelancaran dana terbaru PMB Investment dan sambutan Ulang Tahun ke-55 Mara Corporation. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: PMB Investment Bhd (PMB Investment), anak syarikat Pelaburan MARA Bhd (Pelaburan Mara) optimis untuk mencapai RM2 bilion jumlah aset di bawah pengurusannya (AUM) menjelang 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim berkata, pihaknya berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran itu terutama menerusi pengenalan beberapa dana baru.

Katanya, setakat ini AUM PMB Investment berjumlah RM1.5 bilion dan tahun ini pihaknya merancang untuk memperkenalkan dua dana baru.

"Untuk tahun depan kami menyasarkan sekurang-kurangnya empat dana baru akan diperkenalkan membabitkan dana global dan tempatan," katanya kepada media selepas pelancaran PMB Shariah Greater China Equity Fund (PSGCEF).

Hadir merasmikan, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahani berkata, melalui dana terbaharu PSGCEF itu, PMB Investment menyasarkan dapat mengumpul sebanyak RM20 juta dalam tempoh tiga bulan pertama ini.

Beliau berkata, PSGCEF adalah dana global ketiga dan akan melancarkan satu lagi dana global berkaitan ESG pada suku keempat tahun ini.

"Sebelum ini, kami juga ada melancarkan dana global dan sebanyak RM20 juta dilanggan dalam tempoh hanya tiga bulan. Bagi dana PSGCEF kami jangka mampu mencapai lebih daripada jumlah itu.

"PSGCEF ini unik kerana strategi pelaburannya adalah di antara 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersih ke dalam ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang tersenarai di bursa wilayah Tanah Besar China dan tidak hanya terhad kepada DJIM Greater China Index sahaja," katanya.

Beliau berkata, dana terbabit ditawarkan pada harga 50 sen seunit, bermula 26 Mei lalu dengan pelaburan minimum sebanyak RM1,000 untuk pelabur runcit dan RM10,000 untuk pelabur institusi.

Sementara itu, Mahdzir berkata, PSGCEF yang juga dana ke-19 PMB Investment bakal memberi peluang kepada pelabur memperoleh keuntungan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Menurutnya, dana pelaburan patuh syariah ini sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap risiko sederhana hingga tinggi serta mencari pelaburan yang mampu memberi pulangan stabil dalam tempoh tiga tahun atau lebih.

"China dipilih kerana PMB Investment belum mempunyai dana yang mensasarkan wilayah ini dan PMB berpendapat China adalah pasaran yang sangat besar dan berpotensi untuk meningkat ekoran pembukaan semula aktiviti ekonominya dan pada masa ini saham-saham syarikat yang tersenarai di bursa tersebut masih berada pada paras yang menarik.

"Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pelaburan yang ada, PMB Investment akan berupaya memberikan prestasi dan pulangan berpatutan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 6:36 PM