KELULUT spesies itama mega.
KELULUT spesies itama mega.
SEORANG pekerja menunjukkan cara membuat koloni kelulut.
SEORANG pekerja menunjukkan cara membuat koloni kelulut.
ROHANI menunjukkan kaedah mengambil madu kelulut.
ROHANI menunjukkan kaedah mengambil madu kelulut.
SPESIES toracica.
SPESIES toracica.
ROHANI menunjukkan produk keluarannya.
ROHANI menunjukkan produk keluarannya.
Ainal Marhaton Abd Ghani

“Saya betul-betul terkesan dengan kenyataan seorang pelanggan yang mengatakan wanita di negerinya tak minum madu tualang yang saya jual, sebaliknya hanya mengamalkan madu kelulut untuk kesihatan tubuh badan.

“Ia bagaikan sindiran ‘tajam’ dan ‘membunuh semangat’ saya yang sedang mempromosikan madu tualang,” kata Rohani Rani, 31.

Sindiran wanita warga emas itu dijadikan pembakar semangat untuk terus ‘berjuang’ dan kini Rohani berjaya menempatkan dirinya sebagai usahawan madu kelulut terkenal.

Pemegang ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu berkata, kejadian berlaku ketika dia menyertai Karnival Flora Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kelantan, dua tahun lalu.

Penyertaannya sempena karnival itu benar-benar memberi tamparan hebat apabila dia yang ditemani suami Wan Mohd Safri Wan Sulaiman, 33, terpaksa bersaing dengan pengusaha madu kelulut dari seluruh negara.

“Memang kami terkejut dengan sindiran wanita itu. Tanpa berlengah selepas pulang daripada karnival berkenaan, kami terus melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan madu lebah kelulut dan potensinya di pasaran.

“Kami bertemu individu dan agensi kerajaan berkaitan untuk mendapatkan bantuan khidmat masihat dan sokongan moral selain berusaha mencari tapak sesuai untuk mulakan projek,” katanya ketika ditemui di Aqif Kelulut Farm di Pusat Pertanian Tanah Putih, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, Rohani yang juga pemilik ladang mengeluarkan modal RM2,000 untuk membeli gergaji pemotong pokok dan mengupah Orang Asli sekitar Rompin dan Pekan untuk mencari ‘log’ lebah kelulut yang bersarang di pokok hampir mati.

Usaha pasangan suami isteri itu akhirnya sampai ke pengetahuan Jabatan Pertanian Daerah Pekan yang kemudian membenarkan kawasan seluas 14 hektar dibangunkan untuk projek ternakan kelulut di Tanah Putih, dua tahun lalu.

Rohani berkata, tiga jenis kelulut atau nama saintifiknya trigona spp yang dibela ialah itama mega, toracica dan apicalis yang mempunyai karakter berbeza tetapi ‘bijak’ dalam mengenal pasti musuh dan kawan.

“Kelulut tidak menyengat dan akan menghasilkan madu yang khasiatnya amat baik untuk kesihatan,” katanya.

Menurut Rohani, kelulut menghasilkan tiga jenis telur iaitu ‘brood cell’ atau telur pekerja, ‘drone cell’ iaitu telur ‘tentera’ khas untuk mengawan dengan ratu dan telur ratu.

“Kelulut sentiasa bertelur dan menetas. Ini bermakna makin banyak menetas, makin banyak kelulut terhasil. Proses pembiakan akan menjadi lebih cepat dan seekor kelulut mempunyai jangka hayat 80 hari sahaja.

“Satu koloni boleh dibiakkan menjadi dua dan ini bermakna jika ada 500 koloni kita boleh kembangkan sehingga 1,000 koloni dan peluang pasaran menjadi makin besar,” katanya yang berasal dari Felda Keratong 5, Muadzam Shah, Rompin.

Beliau berkata, log kelulut boleh didapati pada pokok keruing, api api, bakau dan meranti sama ada di batang atau dahan.

Katanya, log untuk kelulut jenis itama mega berharga antara RM200 hingga RM300, toracica RM500 hingga RM900 dan apicalis RM180 hingga RM380 manakala kos membeli koloni kelulut yang lengkap dengan kotak dan ‘kaki’ pula antara RM450 hingga RM1,200 setiap satu mengikut jenis kelulut.

Menurut Rohani, kawasan yang agak redup dan persekitaran ditumbuhi pokok bunga selain pokok akasia sesuai untuk kelulut kerana tanaman berkenaan kaya dengan ‘makan utamanya’ iaitu nektar.

“Di ladang ini hampir 95 peratus adalah pokok akasia di mana nektarnya terdapat pada hujung daun.

“Sepanjang tahun lalu, kami berjaya menjual hampir 1,500 koloni dan untuk tahun ini kami sudah menjual kira-kira 800 koloni ke sekolah, orang perseorangan dan agensi kerajaan serta swasta sekitar Pahang,” katanya.

Katanya, serangga ‘comel’ itu tidak akan pernah bertukar sarang.

Menurutnya, membela kelulut tidak sesukar memelihara ternakan seperti ayam, itik, lembu atau kambing yang perlu diberi penjagaan dan perhatian di segi makan minum setiap hari.

“Kelulut umpama burung. Keluar selepas Subuh dan pulang sebelum Maghrib untuk mencari nektar,” sambil berkata tiga produk utama lebah kelulut ialah madu, roti lebah dan propolis.

Umpama satu ‘hukum alam’, saya perhatikan menjelang Maghrib atau ketika azan berkumandang, lebah mula memasuki sarang masing-masing,” katanya yang sudah melahirkan 10 usahawan kelulut di sekitar Pekan.

Rohani juga mula memasarkan produk hiliran iaitu minuman tenaga, Xtra Boost untuk kesegaran tubuh selepas bekerja selain membantu mengubati penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah.

“Saya juga menghasilkan sabun pencuci muka dan pencuci Miss V dan merancang mengeluarkan syampu dan kapsul,” katanya yang juga pengedar madu tualang asli jenama Madu Aqif daripada pembekal di Maran dan Temerloh sejak tahun 2007 .

Walaupun masih baru, Aqif Kelulut Farm sudah menerima lawatan pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk melihat kaedah penternakan kelulut dibangunkannya.

“Saya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 10 tahun untuk membangunkan kawasan seluas 14 hektar berkonsepkan agro pelancongan dan berimej korporat dilengkapi tapak perkhemahan dan pusat pembelajaran.

Sebagai perancangan masa depan, Rohani berkata, Aqif Kelulut Farm akan mengadakan usahasama dengan Bio Technology Malaysia (Bio Tech) untuk menjalankan kajian propolis khusus untuk bidang farmaseutikal nefara berdasarkan permintaan yang sangat tinggi.

Selain itu, katanya, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) juga akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat dalam memajukan ladang ternakan kelulut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 11:12 AM