PENGHUNI Rumah Rakan Islah Setiu mempelajari teknik memecah koloni lebah kelulut pada Seminar Pecah Koloni dan Penternak Kelulut Rumah Rakan Islah Setiu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PENGHUNI Rumah Rakan Islah Setiu mempelajari teknik memecah koloni lebah kelulut pada Seminar Pecah Koloni dan Penternak Kelulut Rumah Rakan Islah Setiu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

PERMINTAAN madu lebah kelulut meningkat tiga kali ganda sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa, 18 Mac lalu.

Harga madu lebah kelulut turut meningkat hingga RM260 sekilogram berikutan permintaan melebihi penawaran.

Pengerusi Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (Pelekat) Daerah, Mohd Sufian Mat Nor berkata, permintaan madu lebah kelulut yang meningkat menyebabkan stok madu kelulut dijual di pasaran tidak mencukupi.

"Biarpun harga madu lebah kelulut naik sehingga RM260 sekilogram, namun permintaan dan jualan madu itu tetap laris.

"Galeri Madu Kelulut Bukit (GMKB) sendiri mampu menjual sehingga 70 kilogram (kg) sebulan.

"Jualan madu itu dibuat kepada penduduk setempat, pelanggan dalam talian dan luar negara termasuk Singapura serta Thailand," katanya pada Seminar Pecah Koloni dan Penternak Kelulut Rumah Rakan Islah Setiu, di Setiu, hari ini.

Mohd Sufian berkata, berikutan permintaan madu lebah kelulut itu meningkat, ramai penternak menambah jumlah sarang lebah kelulut untuk memenuhi permintaan.

Beliau berkata, GMKB menambah sarang lebah kelulut sehingga 250 sarang daripada 180 sarang bagi memastikan jumlah pengeluaran madu lebah kelulut bertambah pada setiap bulan.

"Jumlah penternak baru turut meningkat sekarang berikutan peningkatan jumlah permintaan madu lebah kelulut itu.

"Saya memantau 50 penternak baru yang mampu menghasilkan 250 hingga 300kg madu lebah kelulut sebulan di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Setiu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 4:55 PM