MOHAMAD Zulkifly menunjukkan aplikasi mudah alih MARDI mengenai diagnosa penyakit dan serangga perosak.
MOHAMAD Zulkifly menunjukkan aplikasi mudah alih MARDI mengenai diagnosa penyakit dan serangga perosak.
Oleh Mohamad Hussin


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan sistem aplikasi mudah alih yang memudahkan proses kerja operasi warga tani di lapangan dan menjadi media kepada agensi itu untuk menjalankan aktiviti perkongsian dan pengkomersialan teknologi dijana.

MARDI menghasilkan 14 aplikasi mudah alih yang relevan dan mempunyai impak baik kepada petani dan penternak sebagai panduan dan alat bantuan dalam mengusahakan projek pertanian.

Aplikasi yang diba­ngunkan ialah MaRDI Dok­tor Cili, Manual Lebah Kelulut, Direktori Usahawan, Fertigasi Cili, Fertigasi Melon, Hidroponik Salad, Padi Aerob, Cendawan Tiram Kelabu, MyKonsultan, Penanaman Cendawan Tiram Kelabu, Penternakan Ayam Kampung, Teknologi Kambing Pedaging, Green Pharmacy dan Fertigasi Tomato.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Pengurusan Maklumat MARDI Mohamad Zulkifly Zakaria berkata, pembangunan aplikasi mudah alih sektor pertanian itu ke arah meningkatkan pendapatan warga tani dan jaminan bekalan makanan.

Beliau berkata, selain menjana teknologi melalui penyelidikan, MARDI memainkan peranan penting dalam melaksanakan aktiviti pemindahan teknologi, kompentensi, pengetahuan dan perkhidmatan teknikal melalui pelbagai saluran penyampaian.

“Peranti mudah alih saluran penyampaian terbaik kepada pihak berkepentingan MARDI ketika ini termasuk petani, penternak dan nelayan.

“Bagi pengguna baru aplikasi mudah alih MARDI, pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu untuk tujuan rekod data.

“Bagi pengguna yang sudah mendaftar, mereka ha­nya perlu login kata laluan dan nama pengguna yang didaftar,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, baru-baru ini.

Menurutnya, pemba­ngunan aplikasi itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Sokongan Teknologi serta Kalendar Aktiviti dan Mesej Peringatan.

“Semua aplikasi ini boleh dicapai secara percuma melalui AppsStore (iOS) dan Google Play Store (Android) dengan menaip nama apps.

“Kalendar Aktiviti dan Mesej Peringatan dapat membantu petani merancang aktiviti di ladang atau kebun dengan lebih cekap.

“Aplikasi ini akan menghantar mesej peringatan kepada pengguna melalui telefon pintar, tablet dan iPad berkaitan semua aktiviti yang perlu dalam penanaman cili, melon, salad, padi dan cendawan tiram kelabu,” katanya.

Mohamad Zulkifly berkata, aplikasi itu juga mempunyai kalendar aktiviti yang merekod segala aktiviti sama ada yang dijana secara automatik atau dimasukkan peng­guna.

“Kategori Sokongan Teknologi pula dapat menggalakkan pemindahan dan pengkomersialan teknologi pertanian.

“Apps Doktor Cili pula aplikasi mudah alih Diagnosa Penyakit dan Serangga Perosak Cili yang menjadi panduan kepada pengguna untuk mengenalpasti penyakit, cara pengawalan dan cara pengurusan tanaman dengan betul.

“Antara maklumat yang boleh diperoleh melalui aplikasi Doktor Cili ialah modul doktor cili, amalan pertanian baik, senarai racun perosak dan perhubungan serta senarai pakar,” katanya.

Katanya, Teknologi Ternakan Lebah Kelulut pula memaparkan maklumat seperti pengecaman lebah kelulut, teknik pemindahan koloni dan penuaian madu, penyediaan sarang kotak, pembekal, permohonan kursus, video serta hubungi pakar lebah kelulut.

“Direktori Usahawan pula memaparkan maklumat seperti nama syarikat dan usahawan, kategori usahawan, jenis produk, maklumat perhubungan dan lokasi.

“Antara fungsi dalam aplikasi ini ialah online/offline, menyimpan kenalan, memudahkan perhubungan dan memudahkan carian,” katanya.

Mohamad Zulkifly berkata, aplikasi Green Pharmacy pula memaparkan pangkalan data maklumat nama dan ubatan tumbuhan.

“Pengguna boleh membuat carian mengikut nama tumbuhan serta kegunaannya. Aplikasi ini juga memaparkan maklumat pe­nyediaan herba serta cara penggunaannya dalam bentuk video.

“Pengguna juga boleh melihat rupa bentuk tumbuhan dengan melihat imej tumbuhan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi itu menyediakan fungsi penjanaan peringatan semua aktiviti dalam setiap penanaman, paparan kalendar aktiviti, senarai agenda semusim dan makluman peringatan aktiviti.

“Ia juga membenarkan pengguna memasukkan maklumat tambahan dan terperinci setiap aktiviti sebagai rujukan tambahan selain menyediakan rekod maklumat ladang (keluasan, lokasi, jumlah pekerja, hasil tuaian) dan panduan penanaman bagi setiap jenis tanaman yang diusahakan,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Pengurusan Maklumat, Ibu Pejabat MARDI, Persiaran MARDI-UPM, 43400 Serdang, Selangor atau menelefon di talian 03-89537137 atau e-mel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 4:44 AM