FADILLAH (dua dari kiri) melihat  model mesin pengorek selepas pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa 2016  di  Kuala Lumpur, semalam.
FADILLAH (dua dari kiri) melihat model mesin pengorek selepas pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kerajaan menetapkan peraturan mandatori semua projek pembinaan kerajaan bernilai RM10 juta ke atas dan projek pembinaan swasta RM50 juta ke atas mencapai skor 70 Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau yakin penggunaan IBS dalam sektor pembinaan adalah masa depan yang baik buat industri itu dan ia juga langkah tepat pada masanya bagi melonjakkan Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata, ia adalah peluang yang perlu dicapai dalam meningkatkan produktivi dan kecekapan industri pembinaan supaya lebih banyak inovasi dapat dihasilkan.

Katanya, menerusi pelaksanaan IBS, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada buruh tidak mahir dalam negara selain berusaha menumpukan kepada pembinaan modular dan pasang siap untuk menarik minat pekerja mahir tempatan, operator mesin dan pemasang komponen IBS.

“IBS adalah sistem bangunan yang ideal kerana ia dapat menggalakkan kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan bahan buangan berbanding kaedah konvensional.

“Ia turut memberi kelebihan dalam meningkatkan keselamatan pekerjadi tapak pembinaan,” katanya pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2016, di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

ICW 2016 berlangsung selama lima hari bermula pada 11 hingga 15 April itu menghimpunkan agensi kerajaan, pihak swasta dan korporat, ahli akademik serta usahawan yang terbabit dalam sektor pembinaan dengan tema produktiviti serta fokus kepada sistem IBS di Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, industri pembinaan terus diiktiraf sebagai penggerak utama ekonomi Malaysia dan dijangka mengalami pertumbuhan memberangsangkan pada tahun ini dengan pelaburan tinggi untuk projek infrastruktur daripada sektor awam dan swasta.

“Projek berkenaan akan terus mendorong pertumbuhan dua digit dan ia akan berkembang sekurang-kurangnya 10.3 peratus setiap tahun dalam menyumbang kira-kira RM327 bilion atau 5.5 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 7:19 AM