KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menjangka sektor pembinaan meraih RM136 bilion nilai projek pada tahun ini, nilai yang sama seperti tahun lalu.

Pengurus Besar Kanan Sektor Korporat dan Perniagaan, Sariah Abd Karib berkata, industri itu turut dijangka terus mencatat pertumbuhan dua angka pada tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.8 peratus pada 2014.

Beliau berkata, industri tersebut mencatatkan pertumbuhan 9.7 peratus pada suku pertama tahun ini.

Sariah berkata demikian pada sidang media di sini untuk mengumumkan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2015 (ICW 2015) yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 7-11 Sept.

Mengenai ICW 2015, beliau berkata, ia dijangka menarik kira-kira 15,000 pengunjung, dengan penyertaan daripada United Kingdom, Jerman, Ghana, Guinea, Australia, Thailand dan Indonesia. Sariah berkata ICW Ke-15 yang bertemakan, 'Building a Greener Future' akan bertindak sebagai platform kepada peserta industri tempatan dan serantau untuk mempromosikan kemahiran, perkhidmatan dan produk mereka, selain mengukuhkan rangkaian mereka di peringkat global.

Dari 1987 sehingga kini, kontraktor Malaysia telah menyiapkan 694 buah projek bernilai RM80.9 bilion di peringkat global, dan terlibat dalam 57 buah projek yang sedang dijalankan bernilai RM25.3 bilion. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 7:18 PM