CONTOH rumah yang menggunakan sisitem IBS. FOTO hiasan
CONTOH rumah yang menggunakan sisitem IBS. FOTO hiasan

Kuala Lumpur: Peruntukan RM500 juta di bawah program Dana Promosi Sistem Bangunan Industri (IBS) yang diumumkan melalui Bajet 2016 lalu dilihat dapat meningkatkan perkembangan teknologi terkini itu di negara ini selari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang turut mengandungi Program Tranformasi Industri Pembangunan (CITP).

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata, jumlah peruntukan terbabit dianggap signifikan, sekali gus menunjukkan komitmen serius kerajaan dalam memperkembangkan lagi IBS.

“Pada ketika ini, kerajaan sedang giat membincangkan mengenai pelaksanaan RMK-11 untuk sektor pembinaan di mana mereka merancang untuk menggunakan prapelan diluluskan di mana ia membolehkan penggunaan komponen berasaskan IBS secara mudah,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Akujanji CITP dengan penggiat industri di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob dan Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Beliau berkata, pada masa ini penggunaan IBS masih berada pada tahap rendah di mana kurang daripada 24 peratus projek kerajaan menggunakan komponen IBS bagi pembinaan bangunan kerajaan dan 20 peratus bagi projek pembinaan bangunan swasta.

“IBS bukan perkara baru di mana ia dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing pada masa depan dan tempoh lima tahun terakhir sebelum 2020 ini memerlukan sektor pembinaan memiliki satu mekanisme terbaik untuk memantau dan melaksanakan lagi projek pembinaan dengan menggunakan komponen IBS,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 24 pemain industri menunjukkan sokongan mereka terhadap CITP apabila menandatangani Akujanji CITP di mana mereka menggariskan komitmen masing-masing untuk merealisasikan CITP dengan inisiatif khusus yang akan dilaksanakan berdasarkan empat teras strategik CITP.

Fadillah berkata, perkara itu adalah perkembangan yang harus dibanggakan dan wajar menjadi contoh kepada agensi serta penggiat industri pembinaan lain di mana objektif serta sasaran CITP tidak boleh dicapai tanpa kerjasama erat di antara penggiat industri dan agensi berkaitan industri pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 6:16 AM