KAEDAH IBS membolehkan pembinaan Sekolah Menengah Bandar Enstek, Sepang dilakukan dengan lebih pantas.
KAEDAH IBS membolehkan pembinaan Sekolah Menengah Bandar Enstek, Sepang dilakukan dengan lebih pantas.
Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggesa pemaju supaya melihat Sistem Pembinaan Perindustrian (IBS) sebagai kaedah pembinaan terkini dan menyeru mereka untuk melaksanakannya sebagai langkah menghasilkan projek pembinaan lebih cepat, berkualiti dan selamat.

Pengurus Besar Bahagian Teknologinya, Noraini Bahri berkata, pemaju perlu menggunakan IBS untuk projek pembinaan bangunan masing-masing kerana ia menawarkan pelbagai manfaat termasuk mengurangkan pembaziran bahan binaan di tapak bina, kerja baik pulih dan kebergantungan kepada pekerja asing, sekali gus turut mengurangkan kos pembinaan secara keseluruhan.

"Walaupun begitu, kami berhadapan dengan tanggapan kurang tepat dalam kalangan segelintir pemaju kerana IBS dikatakan menyekat krediliti reka bentuk bangunan dan mahal berikutan komponen terpaksa diangkut dari kilang dan menggunakan kren dalam kerja pemasangan," katanya.

Sehingga kini, CIDB melalui Pusat IBS sudah mendaftarkan kira-kira 170 Syarikat Pengeluar Komponen IBS tempatan sehingga Ogos lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan IBS dalam kalangan pemaju di sektor awam dan swasta boleh dikatakan agak baik apabila kajian CIDB mendapati sebanyak 46 peratus daripada 400 projek bangunan swasta di Lembah kelang mengunakan IBS dengan mencapai purata skor IBS sebanyak 55 peratus.

"Untuk sektor awam, kerajaan mewajibkan semua projek pembinaan bangunan kerajaan yang bernilai RM10 juta dan ke atas mestilah menggunakan IBS dengan mendapat skor IBS 70 peratus kandungan komponen IBS," katanya.

Untuk memastikan lebih banyak syarikat melaksanakan kaedah IBS dalam pembinaan bangunan masing-masing, CIDB menurunkan nilai projek daripada RM10 juta kepada RM5 juta untuk pembinaan bangunan kerajaan diwajibkan menggunakan Sistem IBS manakala pembinaan bangunan sektor swasta pula diwajibkan mencapai skor IBS sebanyak 50 peratus.

"Kami komited untuk terus mempromosikan kaedah IBS ini melalui IBS Roadmap 2003-2010 dan Roadmap IBS 2011-2020, dengan menjalankan seminar, siri jelajah, dialog, forum di seluruh negara di samping menganjurkan pameran kebangsaan dan antarabangsa seperti Malaysia International IBS Exibition (MIIE), Internatonal Construction Week (ICW), Regional Construction Week (RCW), Onebuild, Ecobuild dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:00 AM