Lokasi kejadian wanita parah ditetak suami, Isnin lalu. FOTO Azma Razana Johari
Lokasi kejadian wanita parah ditetak suami, Isnin lalu. FOTO Azma Razana Johari
Shamsul Munir Safini

Kepala Batas: Polis buru lelaki berusia 32 tahun kerana menetak Isterinya berusia 33 tahun dengan parang sehingga parah dalam kejadian di rumah mereka di Penaga, Isnin lalu.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, wanita berkenaan yang juga penjawat awam ditetak beberapa kali oleh suaminya yang juga penagih dadah ketika mahu ke tempat kerjanya di Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, mangsa parah di bahu kiri dan pergelangan tangan kanan akibat ditetak suaminya dipercayai berpunca daripada masalah peribadi.

Katanya, sebaik menetak isterinya, lelaki berkenaan melarikan diri dengan menunggang motosikal.

"Suspek kini sedang diburu polis dan dipercayai tidak bekerja dan menagih dadah.

"Polis sedang berusaha memburu suspek yang dipercayai masih berada di kawasan berdekatan," katanya.

Azmi berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 10:38 PM