SUSPEK (baju oren) diiringi anggota polis di Mahkamah Butterworth untuk direman berhubung kes tetak mangsa (gambar kecil) di Kampung Bagan Jermal FOTO Amir Irsyad Omar
SUSPEK (baju oren) diiringi anggota polis di Mahkamah Butterworth untuk direman berhubung kes tetak mangsa (gambar kecil) di Kampung Bagan Jermal FOTO Amir Irsyad Omar
Azma Razana Johari


Butterworth: Lelaki parah di lengan kiri akibat ditetak seorang lelaki lain dipercayai kerana masalah hutang di Bagan Jermal di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian 4 petang itu, suspek berusia 50 tahun datang ke rumah mangsa untuk membincangkan masalah hutang mereka.

Namun, berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa yang berusia 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, berlaku pertengkaran sebelum suspek bertindak ganas dengan memukul mangsa.

"Suspek dikatakan menetak lengan kiri mangsa hingga hampir putus menggunakan golok.

"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

"Akibat kejadian itu, tangan kiri mangsa tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong," katanya.

Katanya, suspek turut ditahan pada hari kejadian di sekitar Butterworth bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan daripada adik mangsa.

Sementara itu, suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth petang tadi dibenarkan tempoh reman selama tujuh hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 9:15 PM