Nurul Huda Kosnon


Shah Alam: Cuaca panas sehingga 34 darjah selsius tidak menghalang ibu bapa membawa anak mereka menikmati kemeriahan Karnival Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt pada hari terakhir hari ini, di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam, hari ini.

Ibu kepada tiga anak, Siti Lizawati Abdul Aziz, 33, berkata dia menggunakan peluang membawa anaknya menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sempena karnival berkenaan termasuk pertandingan mewarna.

"Saya dan suami, Mohd Zaman Kismin, 41, bersama tiga anak seronok dengan aktiviti disediakan. Cuaca panas tidak menjadi masalah, yang penting kami 'enjoy' bersama keluarga.

“Kami datang seawal 2.30 petang dan teruja menyaksikan pertandingan Battle of The Band serta aktiviti lain," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Kakitangan swasta itu gembira karnival diadakan di sini (Setia Alam), berhampiran kediamannya.

"Saya berharap Harian Metro akan mengadakan acara seperti ini pada masa depan bagi mendekatkan pembaca dengan akhbar," katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua anak, Juliza Mohd padli, 31, berkata cuaca panas tidak menjadi halangan untuk dia dan suami, Mohd Shah Izuddin, 33, membawa dua anaknya menyertai pelbagai aktiviti di karnival berkenaan.

"Aktiviti yang diadakan keseluruhannya bersesuaian dengan kanak-kanak.

"Walaupun cuaca panas, kami redah juga asalkan anak-anak terhibur dengan program disediakan," kata kakitangan kerajaan itu.

Pada hari terakhir karnival, lebih 10,000 pengunjung datang menyertai pelbagai aktiviti serta melawat gerai disediakan.

Selain aktiviti, orang ramai turut dihiburkan dengan pertandingan Battle of The Band serta wayang pacak bermula jam 8.45 malam menayangkan filem terbitan Grand Brilliance (GB) 'Mamak Cupcake'.

Karnival diteruskan ke Fan City Mall, Miri, Sarawak pada 15 dan 16 April ini sebelum ke Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April ini.

Program turut dijayakan bersama rakan penaja, termasuk Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Honda Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 10:56 PM
 Badut turut memeriahkan karnival. - Foto NAZRAN JAMEL
Badut turut memeriahkan karnival. - Foto NAZRAN JAMEL
Antara acara sukaneka yang disediakan. - Foto NAZRAN JAMEL
Antara acara sukaneka yang disediakan. - Foto NAZRAN JAMEL
Orang ramai merakam gambar kenangan. - Foto INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
Orang ramai merakam gambar kenangan. - Foto INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
Cuaca panas tidak menghalang orang ramai mengunjubngi Karnival Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Setia City Park, Setia Alam, hari ini. - Foto NAZRAN JAMEL
Cuaca panas tidak menghalang orang ramai mengunjubngi Karnival Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Setia City Park, Setia Alam, hari ini. - Foto NAZRAN JAMEL