Nurul Huda Kosnon

Shah Alam: "Saya dan anggota kumpulan tidak menyangka bergelar juara memandangkan persaingan daripada kumpulan lain sangat hebat. Namun, kami bersyukur persembahan berjaya mencuri hati juri.”

Itu kata vokalis kumpulan Portzero, Shahbandee Yahya, 40, yang terkejut selepas berjaya mengalahkan lapan kumpulan yang menyertai Battle of The Band Karnival 25 Tahun Harian Metro (HM) bersama Yeo's Yeogurt di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam, hari ini.

Menurutnya, dia gemuruh ketika kumpulannya diumumkan sebagai pemenang kerana penyertaannya dan anggota lain pada awalnya hanya sekadar suka-suka.

"Kami dapat maklumat pertandingan ini menerusi Facebook lalu terus mendaftar. Kami hanya buat yang terbaik untuk memeriahkan konsert dan kemenangan ini tidak akan kami lupakan.

“Kami berbangga dengan kemenangan ini apatah lagi mampu memenangi hati juri iaitu Datuk Ramli MS dan Harry Aziz yang sangat disegani dalam dunia muzik negara," katanya ketika petang tadi.

Dia berpendapat konsert seperti ini adalah terbaik dan saluran bagi mencungkil dan mengetengahkan bakat sedia ada.

"Saya harap konsert seperti ini akan diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang," katanya.

Kumpulan Portzero membawa pulang wang tunai RM1,000, tempat kedua dimenangi kumpulan Oxygen yang membawa pulang wang tunai RM700 manakala tempat ketiga disandang kumpulan M16 yang membawa pulang wang tunai RM500.

Selain Battle of The Band, turut menghiburkan pengunjung ialah wayang pacak yang menayangkan filem dari Grand Brilliance (GB) 'Mamak Cupcake'.

Karnival Ledakan 25 Tahun Harian Metro akan diteruskan ke Fan City Mall, Miri, Sarawak pada 15 dan 16 April ini dan kemudian ke Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April ini.

Program turut dijayakan bersama rakan penaja termasuk Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Honda Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 11:12 PM