PESERTA lelaki yang menyertai gusti lengan, semalam.
PESERTA lelaki yang menyertai gusti lengan, semalam.

Shah Alam: Acara gusti lengan, teka gula-gula antara pertandingan yang menjadi tumpuan buat pengunjung Karnival HM Padat di tapak Bazarena Stadium Malawati, di sini, semalam.

Ini kerana gerai atau ‘booth’ bagi dua acara itu sentiasa dipenuhi pengunjung yang mahu menguji kekuatan selain mencuba nasib untuk mendapat hadiah menarik.

Karnival HM Padat selama dua hari bermula semalam dan hari ini menyediakan sebanyak 22 gerai dengan pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.

Gerai Bazaarita antaranya menawarkan tiga aktiviti menarik kepada pengunjung selain turut memberi potongan harga istimewa untuk pelbagai produk.

Petugas gerai itu, Bazaarita Ari Johari, 33, berkata, berikutan pengunjung karnival terdiri daripada pelbagai peringkat usia, aktiviti seperti teka gula-gula boleh disertai mereka, sekali gus mempromosikan Bazaarita kepada orang ramai.

“Sepanjang dua hari, kami (Bazaarita) menyediakan tiga aktiviti menarik buat pengunjung karnival iaitu pertandingan ‘Instagram Photo’, ‘Candy Guessing Jar’ dan ‘Mystery Box’ dan pemenang bakal memenangi satu unit i-Pro Tablet.

“Pengunjung juga dapat menikmati potongan harga istimewa untuk pelbagai barangan antaranya produk kecantikan, aksesori telefon dan pakaian,” katanya.

Selain itu, gerai Avon menjadi persinggahan buat kaum wanita untuk singgah membeli barangan kecantikan serta produk lain.

Ketua Pemasaran Avon Cosmetic (M) Sdn Bhd Aspalin Sirat berkata, bagi menghargai pengunjung yang datang ke Karnival HM Padat, pihaknya menawarkan promosi harga istimewa dan turut mengadakan pertandingan tata rias bagi mencungkil bakat jurusolek tempatan.

“Sebaik dibuka, pengunjung tidak berhenti datang ke gerai kami untuk berbelanja malah mereka turut teruja kerana kami turut menyediakan solekan percuma.

“Mereka juga boleh memenangi hadiah utama bernilai RM1,000 dengan menyertai pertandingan solekan yang akan diadili oleh penyanyi terkenal tanah air, Alyah dan jurumekap tersohor Zulfazli Suhadi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Penjenamaan The New Straits Times Press Berhad (NSTP), Sharifah Sharina Syed Mustafa Shahabudin berkata, Karnival HM Padat menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga mereka.

Menurutnya, antara hadiah lumayan menanti pengunjung adalah pertandingan ‘Battle of The Band’ yang menawarkan wang tunai berjumlah RM1,000 selain acara kemuncaknya konsert yang bermula pada jam 9 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:08 AM