Nurul Huda Kosnon


LEBIH 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan di Karnival Kerjaya Khas anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membabitkan penyertaan kira-kira 100 syarikat bermula hari ini.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dazma Shah Daud berkata, sehingga jam 12.30 tengah hari tadi, lebih 5,000 pengunjung hadir merebut peluang yang disediakan pada karnival yang berlangsung selama dua hari itu.

Dazma Shah berkata, seawal 9 pagi lagi orang ramai sudah menunggu untuk mendaftar masuk ke karnival berkenaan biarpun ia mula dibuka pada 10 pagi.

"Terdapat juga syarikat yang mengambil bahagian memaklumkan akan menawarkan terus surat tawaran kerja kepada calon yang berjaya selepas mengadakan ujian kelayakan yang ditetapkan," katanya ketika ditemui Harian Metro di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dazma Shah berkata, pelbagai syarikat menyertai karnival ini termasuk Prasarana Bhd, CIMB, SME Bank, Boustead Holdings Bhd, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SP Setia Bhd Group, Mplus, Telekom Malaysia Berhad dan Wedtports Malaysia Sdn Bhd.

"Syarikat ini menawarkan peluang pekerjaan dari pelbagai sektor seperti perakaunan, pengurusan, audit dan kejuruteraan. Turut disediakan beberapa program sampingan seperti ceramah kerjaya, klinik resume serta latihan temu duga kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 10:10 PM
Antara booth yang dibuka pada  Karnival Kerjaya Khas anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. FOTO Khairus Ramli
Antara booth yang dibuka pada Karnival Kerjaya Khas anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. FOTO Khairus Ramli