Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Empat belas artis terkenal tanah air dan Indonesia bakal memeriahkan kemuncak Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro (HM) yang akan diadakan di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam pada 2 dan 3 April ini.

Konsert itu menampilkan Datuk Jamal Abdillah, Ella, Dayang Nurfaizah, Amy Search, Ezad Lazim, Drama Band, Ronie Husin, Tasha Mansahar & Syed, Shamim, Shiha Mentor, Ayda Jebat, Siti Nordiana, XPDC, serta artis Indonesia adalah Papinka.

Lebih menarik, konsert bakal dikendalikan dua pengacara terkenal iaitu Sherry Alhadad dan AG.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, karnival dan konsert yang akan diadakan adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pembaca Harian Metro yang setia menyokong akhbar berkenaan sehingga kini.

"Harian Metro mula diterbitkan pada 25 Mac 1991 dan sejak itu, ia terus meraih pelbagai kejayaan serta pengiktirafan dalam dan luar negara.

"Kini, akhbar Harian Metro dan Metro Ahad terus menjadi pilihan pembaca dengan jumlah pembaca purata mencecah 4.2 juta orang," katanya ketika ditemui pada sidang media di Balai Berita, petang tadi.

Katanya, pada awalnya, penubuhan akhbar ini untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai namun ia terus mendapat sambutan menggalakkan dan bertahan sebagai akhbar harian Bahasa Melayu nombor satu di negara ini.

"Inilah hasilnya dan pihak kami berbesar hati untuk meraikan sambutan ulang tahun bersama semua pembaca membabitkan semua lapisan masyarakat.

Turut hadir pada sidang media, Timbalan Pengarang Harian Metro merangkap Pengerusi Konsert Jelajah 25 Tahun HM, Ahmad Salim@Salim Bachok, pengurusan kanan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dan wakil penaja yang terbabit.

Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang dua hari karnival itu berlangsung membabitkan Zumba Metro, karaoke, peraduan di Instagram, pertandingan gusti lengan dan permainan kereta kawalan jauh.

Pengunjung yang hadir juga boleh menjamu selera di 25 ‘food truck’ atau trak makanan yang menjual pelbagai jenis makanan termasuk cendol, nasi lemak, burger dan char kuey tiaw.

Konsert Ledakan 25 Tahun HM mendapat sokongan penaja daripada Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, air mineral semula jadi Cactus, Unilever Food Solutions, Grab, DRB-HICOM Universiy of Automotive Malaysia, Malaysia Airlines, Edaran Tan Chong Motor, GCH Guardian, Bank Rakyat dan AmBank.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 10:09 PM
MUSTAPA (enam kanan), Ahmad (tiga kanan) bersama rangkaian penaja, Pengurus Besar Pemasaran Yeo Hiap Seng, Vincent Chui (enam kiri); wakil Grab, Regina Robin Arumugam (empat kiri); wakil Bank Rakyat, Khairulisham Junuha (kanan) dan wakil Unilever Food Solutions, Angelina Ho (dua kiri) pada sidang media Konsert Ledakan Sempena Sambutan 25 Tahun Harian Metro. FOTO Adi Safri
MUSTAPA (enam kanan), Ahmad (tiga kanan) bersama rangkaian penaja, Pengurus Besar Pemasaran Yeo Hiap Seng, Vincent Chui (enam kiri); wakil Grab, Regina Robin Arumugam (empat kiri); wakil Bank Rakyat, Khairulisham Junuha (kanan) dan wakil Unilever Food Solutions, Angelina Ho (dua kiri) pada sidang media Konsert Ledakan Sempena Sambutan 25 Tahun Harian Metro. FOTO Adi Safri