KANAK-KANAK menyertai permainan ular dan tangga.
KANAK-KANAK menyertai permainan ular dan tangga.
 GELAGAT orang ramai   menyaksikan bunga api pada tengah malam.
GELAGAT orang ramai menyaksikan bunga api pada tengah malam.
KUMPULAN Portzero. juara ‘Battle of The Band’.
KUMPULAN Portzero. juara ‘Battle of The Band’.
Na’imah Mohamed


Klang: Kerancakan Karnival 25 Tahun Harian Metro (HM) bersama Yeo’s Yeogurt di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam, di sini, semalam, tambah gamat apabila kumpulan Portzero muncul juara pertandingan ‘Battle of The Band’ pada karnival itu.

Mereka menewaskan lapan lagi kumpulan yang turut bertanding sebelum membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Menurut vokalisnya, Shahbandee Yahya, 40, pertandingan itu dianggap sengit berikutan jumlah penyertaan yang di luar jangkaan.

“Walaupun kami sudah berkecimpung dalam dunia muzik sejak tujuh tahun lalu, namun perasaan gemuruh masih dirasai setiap kali menyertai pertandingan seumpama ini.

“Tambahan pula, juri pertandingan, Datuk Ramli MS sangat disegani dalam dunia muzik negara.

Akhirnya kami berjaya mengatasi perasaan itu dan memenangi tempat pertama pertandingan,” katanya.

Tempat kedua pula dimenangi kumpulan Oxygen yang membawa pulang wang tunai RM700 manakala tempat ketiga disandang kumpulan M16.

Sempena hari terakhir karnival berkenaan, orang ramai turut tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti disediakan.

Eksekutif Pemasaran The New Straits Times Press Berhad (NSTP) Shazaliza Azlin Rusli berkata lebih 10,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti disediakan pada hari terakhir karnival 25 tahun HM itu.

“Selain aktiviti sedia ada, mereka turut dihiburkan dengan pertandingan Battle of The Band serta wayang pacak bermula jam 8.45 malam yang menayangkan filem keluaran syarikat Grand Brilliance (GB) ‘Mamak Cupcake’.

“Tayangan wayang pacak berkenaan tamat pada jam 10 malam dan acara itu adalah penutup bagi siri jelajah kali ini sebelum karnival seterusnya diadakan di Fan City Mall, Miri, Sarawak pada 15 dan 16 April ini,” katanya.

Menurutnya, Karnival 25 Tahun HM itu kemudiannya akan diadakan di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak, pada 23 dan 24 April ini.

Acara karnival 25 Tahun HM bermula kelmarin, turut menarik perhatian 35,000 penonton yang membanjiri kawasan itu bagi menyaksikan Konsert Ledakan 25 Tahun HM disertai Raja Pop Malaysia, Jamal Abdilah, Amy Search, Ella, Dayang Nurfaizah, Ronnie Hussein, Ezad Lazim, Siti Nordiana, Nico G, XPDC, Tasha Manshahar, Ayda Jebat, Papinka, Drama Band serta ramai artis lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 5:13 AM