CIRI tradisional terus dipertahankan.
CIRI tradisional terus dipertahankan.
PENATAAN klasik yang diberi sentuhan baru.
PENATAAN klasik yang diberi sentuhan baru.
SENI ukiran dimartabatkan Warisan Gobek Enterprise.
SENI ukiran dimartabatkan Warisan Gobek Enterprise.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Binaan rumah tradisional Limas Johor yang diberi wajah baru ini cukup menggambarkan kesenian dimiliki pemilik atau penghuninya.

Lebih memberikan makna apabila ia dihasilkan sendiri dengan penelitian sepenuhnya daripada pelbagai aspek supaya khazanah dan warisannya terus dihayati dan tidak lapuk ditelan zaman.

Terletak di Batu Pahat, Johor, sesiapa saja yang melewati kediaman ini pasti terpukau dengan seni bina dan persekitarannya.

Bagi Mohd Noh Zaini, 35, peluang mengubah suai kediaman unik milik ayahnya supaya kelihatan lebih tradisional dan tidak dimamah usia nyata suatu yang tidak harus dilepaskan.

Lantas pada 2010, dia membuat perancangan sepenuhnya untuk memberi sentuhan berbeza tetapi masih mempertahankan kesenian Limas Johor.

"Selama dua bulan proses pengubahsuaian dilakukan ditambah dengan matlamat saya untuk melangsungkan perkahwinan penghujung tahun berkenaan.

"Tiada lain, matlamat saya iaitu demi memeriahkan majlis berkenaan dan terus meletakkan seni bina ini setanding dengan yang lain," kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Menurut Mohd Noh, bahagian tingkap asal berlatarkan cermin kaca biasa ditukar dengan gaya baru yang mempunyai ukiran kayu di atasnya.

Panel kayu pada lima tingkap pula bermotifkan bunga ketumbit dengan ukiran tebuk tembus kerawang tanpa silat.

Di bahagian anjung pula, kelihatan papan pemanis bermotifkan sulur kacang diketengahkan yang mengambil masa kira-kira seminggu proses penghasilannya.

Seterusnya penampilan teknik kumai pada permukaan kayu dinding berasaskan kayu kapur nyata memukau pandangan.

"Kayu itu menjadi pilihan utama kerana lebih murah dan turut mempunyai ketahanan sama dengan kayu berkualiti seperti cengal," katanya.

Pagar musang yang dibina antara ruang menuju ke tangga rumah pula mengetengahkan motif bunga ketumbit, selain ukiran pada penjuru anak tangga.

Penataan dalam rumah juga diberi perhatian dengan seni sesiku kluang pada dua tiang seri.

Pada pintu menuju ke ruang dapur diletakkan dekorasi tembaga merah yang benar-benar memukau dalam mengembalikan tradisional Melayu.

Seni warisan kayu

Sempena Program Media Turun Padang Ke Johor anjuran Kraftangan Malaysia minggu lalu, kepakaran dalam seni ukiran Mohd Noh turut ditinjau.

Matlamat untuk membina identiti dan mempertahankan seni warisan kayu juga antara pendorong utama anak kelahiran Batu Pahat ini untuk menubuhkan Warisan Gobek Enterprise.

Kini, pelbagai produk berasaskan kayu seperti wakaf, mimbar masjid, pergola dan balkoni rumah serta anjung rumah ditampilkan dengan ukiran menarik.

"Motif yang cuba saya ketengahkan ialah bunga ketumbit kerana muncul antara motif pilihan istana lama, selain bunga bakawali, bunga dala, bunga kerak nasi dan bunga ketam guri.

"Malah, motif bunga ketumbit diukir dua dimensi turut mendapat permintaan ramai dan ia biasanya dihasilkan pada atas tingkap, atas pintu rumah sesiku kelawang dengan ukiran tebuk tembus," katanya yang turut mendapat sokongan moral isteri, Norafidah A Rahman, 28.

Mohd Noh mempunyai perjalanan kerjaya yang menarik dan pernah bekerja dengan syarikat membuat kapal mewah berasaskan kayu jati Burma di Pasir Gudang.

"Dari situ saya mula belajar menjadi tukang kayu khususnya membuat hiasan di dalam bot. Kemudian mengikuti pengajian di Institut Kraf Negara dalam Seni Kraf Ukiran Kayu," katanya.

Azam untuk memartabatkan seni pertukangan diteruskan apabila dia membeli sendiri mesin memotong bunga ukiran pada 2006. Diikuti mesin ketam dan memotong kayu, mesin larik, mesin belah dan mesin tanggam.

Berminat, sila kunjungi Warisan Gobek Enterprise di No 7, Pt Jayous 1 Laut, Sri Medan, Batu Pahat, Johor atau e-mel: [email protected] atau Facebook: Warisan Gobek Warisan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:00 AM