SENI yang dihasilkan sarat dengan nilai estetikanya.
SENI yang dihasilkan sarat dengan nilai estetikanya.
PRODUK ukiran tembaga merah antara kraf yang mempunyai kehalusan proses pembuatannya.
PRODUK ukiran tembaga merah antara kraf yang mempunyai kehalusan proses pembuatannya.
KRAF  jadi pilihan untuk memahat sejarah penting.
KRAF jadi pilihan untuk memahat sejarah penting.

Ukiran tembaga merah atau 'copper tooling' adalah salah satu cabang seni kraf yang diminati ramai kerana keunikan dan kehalusan cara pembuatannya.

Seni ini dikatakan berasal dari Parsi sebelum di bawa ke Turki. Malah, ia dihasilkan untuk menghiasi dinding di masjid Turki.

Dikatakan seni ini kemudiannya berkembang ke India sebelum tiba di Tanah Melayu menerusi aktiviti perdagangan antara pedagang India dengan Kerajaan Melayu Melaka.

Ukiran ini dipercayai bertapak lebih 750 tahun lalu dan ketika itu, hasil ukiran tembaga merah yang dibawa dalam bentuk logo, motif flora dan fauna.

Proses ukiran tembaga merah bermula dengan menggunakan pahat untuk membuat garisan.

Diikuti dengan proses mengetuk mata paku di atas kepingan tembaga merah untuk membentuk corak atau motif tertentu sebagai hiasan permukaan.

Lazimnya dua jenis mata paku digunakan untuk membentuk corak iaitu paku mata halus dan paku mata kasar. Kedua-duanya menuntut ketelitian si pembuat.

Perbezaan antara mata paku itu ialah paku mata halus menuntut si pembuat mengetuk lebih 500 kali bagi setiap inci, sementara bagi mata paku kasar pula menuntut si pembuat mengayunkan tukulnya antara 250 hingga 300 kali ketukan bagi setiap inci.

Sukar untuk dibayangkan, namun hasil kraf ukiran tembaga merah sebesar 0.6 x 0.9 meter menuntut si pembuat mengayun tangan mereka mengetuk lebih 500,000 kali untuk disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Teknik yang digunakan untuk membuat ukiran tembaga merah ialah teknik tekan timbul, teknik paku dan teknik mata pahat.

Kesesuaian teknik ini bergantung kepada ketebalan kepingan tembaga yang digunakan.

Peralatan asas yang digunakan untuk menghasilkan ukiran tembaga merah adalah tukul, mata pahat dan kepingan kayu setebal 0.6 meter sebagai alas.

Kayu alas yang digunakan juga mestilah dalam saiz yang tepat bagi memastikan momentum ketukan tembaga ini lebih padat dan mampu untuk menghasilkan kesan timbul yang sempurna.

Antara produk kraf ukiran tembaga merah yang dihasilkan ialah hiasan dinding, hiasan permukaan kotak dan cenderamata menggunakan motif seperti flora, fauna dan tulisan khat.

Hiasan dinding yang bermotifkan bunga heliconia (pokok sepit udang) umpamanya dijadikan penyeri ruang dan berfungsi sebagai lampu dinding.

Olahan bentuk yang lebih menarik dengan gabungan kayu hanyut dijadikan tapak mampu mencuri perhatian dengan warna klasik kemerahan.

Bahan kepingan tembaga merah yang dipotong mengikut reka bentuk pada bahagian batang heliconia. Sementara pada bahagian daun pula menggunakan teknik ketukan.

Reka bentuk yang moden dengan jalinan ragam hias hasil teknik pembuatan memaparkan ketelitian hakikatnya membantu menguatkan fungsi utama karya seni ini.

Ciri ketahanan yang terdapat pada produk ukiran tembaga merah ini membawa seni berkenaan digunakan sebagai nilai tambah bagi produk hiasan taman dan landskap.

Produk ukiran tembaga merah juga sesuai dicantumkan dengan ukiran pada kaki kerusi kayu atau bangku taman selain disuai padan dengan ukiran pada binaan pergola.

Keistimewaan ukiran tembaga merah ialah produk ini tergolong dalam bentuk yang tidak berkarat.

Sekiranya ada kesan pudar pada permukaan ukiran tembaga merah, pengguna boleh menggunakan krim pengilat iaitu autosol metal polish atau menggunakan kaedah lama seperti air asam jawa atau limau nipis untuk mengembalikan serinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:02 AM