TERMINAL klia2, Sepang.
TERMINAL klia2, Sepang.

Sepang: Kos bagi penambahbaikan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang dilaksanakan ketika ini tidak akan ditanggung syarikat penerbangan tambang rendah.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali berkata, terpulang kepada mereka (syarikat penerbangan tambang rendah) untuk menggunakan kemudahan itu.

Beliau mengulas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) yang dibentangkan di Parlimen 25 November lalu mengenai dakwaan kegagalan syarikat pegendali lapangan terbang itu menimbang status KLIA2 sebagai lapangan terbang kos rendah yang turut meningkatkan perbelanjaaan operasi syarikat pengendali penerbangan terbabit.

Badlisham sebaliknya menegaskan kos penambahbaikan kemudahan itu serta penyelenggaraannya telah diperuntukkan dalam perbelanjaan operasi syarikat itu.

“Selain projek penambahbaikan, MAHB turut merancang menambah 19 kemudahan pejalan kaki tahun depan dan tujuh kenderaan “buggy” menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media bagi memaklumkan perkembangan terbaru projek penambahbaikan kemudahan berkenaan serta kerja-kerja berkaitan isu takungan air di KLIA2, semalam.

Mengulas kenyataan PAC mendakwa terminal KLIA2 berkonsepkan hibrid, Badlisham berkata tiada takrifan jelas serta standard yang membezakan antara konsep hibrid dan lapangan terbang tambang rendah.

Mengenai hubungannya dengan syarikat penerbangan tambang rendah, beliau berkata, MAHB sentiasa mengeratkan hubungan dengan penyewa lapangan terbang itu.

“Sejak Mei tahun ini, saya telah menemui Ketua Pegawai Operasi AirAsia, Aireen Omar sebanyak 10 kali bagi membincangkan perkara berkaitan isu pengendali dan syarikat penerbangan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 8:07 AM