klia2 berupaya menampung seramai 45 juta penumpang setahun.
klia2 berupaya menampung seramai 45 juta penumpang setahun.
Nabil Basaruddin


Sepang: Malaysia, negara yang dianggap mempunyai segala-galanya untuk diangkat sebagai hab penerbangan tambang murah utama dunia, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Dubai of the East’ mampu direalisasikan menerusi pelbagai usaha oleh AirAsia Berhad (AirAsia).

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, untuk mencapai sasaran berkenaan, pihaknya memerlukan kerjasama penuh daripada pengendali utama lapangan terbang tempatan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“AirAsia begitu komited mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Dubai of the East’ dan disebabkan itu, kami berusaha untuk menamakan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai Terminal Tambang Murah (LCCT) Asia.

“Langkah berkenaan adalah supaya seluruh dunia tahu bahawa ia hab tambang murah dan mereka boleh datang ke sini untuk menggunakan penerbangan dengan tambang paling murah,” katanya dalam satu temu bual bersama wartawan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini.

Klia2 dibina untuk memenuhi pertumbuhan yang memberangsangkan dalam industri penerbangan tambang rendah dan ia berupaya menampung 45 juta penumpang setahun dan ia direka serta dibina dengan kapasiti lebih besar dengan kemudahan terbaik, menggantikan LCCT.

Malah, AirAsia baru-baru ini melancarkan kempen penjenamaan untuk mempromosikan klia2 sebagai Hab Tambang Rendah Asia iaitu pusat sehenti untuk ke mana saja di dalam rantau Asia.

AirAsia dan AirAsia X adalah pengendali syarikat penerbangan terbesar di klia2 dan antara syarikat penerbangan lain adalah Cebu Pacific Air dari Filipina, Tiger Air (Singapura), Lion Air (Indonesia) dan JetStar (Australia).

Mengulas lanjut, Tony berkata, AirAsia sering disalah anggap kerana dilihat terlalu mendesak MAHB untuk mengikuti permintaan syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.

Beliau berkata, permintaan AirAsia dari awal lagi adalah wajar kerana mampu membentuk situasi ‘menang-menang’ bersama pengendali lapangan terbang itu bagi mewujudkan persekitaran terminal yang lebih murah, mudah dan mesra pengguna.

“Jika dilihat kepada klia2, ia bukanlah lapangan terbang tambang murah. Di Changi, Singapura, mereka bekerjasama dengan kami untuk membina Terminal 4, khusus untuk tambang murah.

“Malah, Thailand juga ingin bekerjasama dengan kami untuk menjadikan Don Muang sebagai terminal tambang murah dan lebih menarik Filipina dan Indonesia turut menunjukkan minat sama,” katanya.

Tony berkata, semasa ke Dubai, beliau berasa amat kagum kerana pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan di bandar raya itu sangat bersatu padu dan berpendapat Malaysia turut berkemampuan melakukannya.

“Malaysia adalah lokasi yang sempurna kerana kita sangat hampir dengan bahagian tengah Asia, iaitu lapan jam dari Beijing dan lapan jam dari Australia seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab Asia.

“Disebabkan itulah kami sedang mengadakan kempen mempromosikan klia2 sebagai Hab Tambang Rendah Asia, pusat sehenti untuk ke mana saja dalam Asia, menjadikannya sebagai ‘Dubai of the East’ dan untuk itu, kami perlukan kerjasama pengendali lapangan terbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:01 AM