MENTERI II MITI, Datuk Seri Ong Ka Chuan (tengah), Penasihat Pelaburan kepada Menteri Besar, Datuk Toh Chin Yaw (kanan) dan Pengarah MITI Wilayah Kelantan dan Terengganu, Azran Deraman (kiri) di sidang media di Kuala Terengganu. FOTO Awadi Alias
MENTERI II MITI, Datuk Seri Ong Ka Chuan (tengah), Penasihat Pelaburan kepada Menteri Besar, Datuk Toh Chin Yaw (kanan) dan Pengarah MITI Wilayah Kelantan dan Terengganu, Azran Deraman (kiri) di sidang media di Kuala Terengganu. FOTO Awadi Alias
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meletakkan sasaran lima ribu usahawan industri PKS menggunakan kemudahan e-Dagang untuk meluaskan pasaran produk ke peringkat antarabangsa menjelang 2020.

Menteri II MITI, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata hanya 284 syarikat di seluruh negara menggunakan kemudahan itu untuk memasarkan produk ke pasaran antarabangsa sejak e-dagang diperkenalkan pada Oktober 2014.

Sehingga ini, katanya, pencapaian e-Dagang di negara ini masih rendah iaitu 5.8 peratus berbanding di beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat iaitu 30 peratus dan China (40) sedangkan sasaran kerajaan adalah antara 15 hingga 20 peratus.

"Oleh itu, MITI menggalakkan usahawan PKS yang menceburi bidang perniagaan menggunakan kemudahan e-Dagang yang disediakan kerana pelbagai insentif menarik disediakan.

"Antara insentif disediakan kerajaan kepada PKS untuk menggunakan kemudahan itu ialah bayaran pendaftaran ahli premium RM2,500.

"Bayaran itu termasuk kos pengiklanan produk dikeluarkan PKS untuk dimuat naik melalui laman sosial dikendalikan dua syarikat dilantik kerajaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan dengan agensi MITI, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 9:03 PM