ORANG ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan kopi dari KPkopies.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan kopi dari KPkopies.
KHAIRUL menyediakan kopi untuk pelanggan.
KHAIRUL menyediakan kopi untuk pelanggan.
TANPA pengalaman Khairul menyahut cabaran sebagai barista kopi.
TANPA pengalaman Khairul menyahut cabaran sebagai barista kopi.
Siti Zarinah Sahib


Penulis artikel viral bertajuk ‘Berkat Dalam Makanan’ yang mendapat lebih 52,000 Likes, 29,000 Shares dan 4,000 komen di halaman Facebook bertarikh 11 Februari 2016, menyahut cabaran muridnya di dalam Cabaran Kopi Barista.

Khairul Hakimin Muhammad yang juga penulis, pengembara, jurugambar, usahawan dan emilik Abuain Kitchen Studio adalah jurumasak yang disegani sehingga mendapat jolokan Bapa Brownies Kebangsaan dalam kalangan pelanggan.

Oleh kerana mempunyai minat mendalam di bidang masakan, dia tanpa berfikir panjang terus menerima pelawaan anak muridnya untuk memenuhi cabaran menjadi barista kopi di kedai kopi terbaru di Kuala Lumpur.

Menariknya, setiap permintaan kopi yang sama dengan kopi kegemarannya, akan mendapat hadiah istimewa. Selain menunjuk kemahiran membuat kopi ala barista, Khairul juga mempromosikan bukunya yang terkini.

“Sebaik saja menerima pelawaan daripada anak murid saya, tanpa berfikir panjang saya terus menyahut cabaran ini tanpa sedikit pun latihan. Mulanya terfikir juga apa akan terjadi sekiranya ramai pelanggan memandangkan saya langsung tiada pengalaman bertugas sebagai barista sebelum ini,” katanya.

Namun semua itu dapat diatasinya apabila dia sentiasa berfikiran positif dan berdoa agar semuanya berjalan lancar. Bertempat di Pasar Seni Kuala Lumpur, sesi menjadi barista kopi bermula pada jam 1 tengah hari dan berakhir pada jam 2 petang.

Beberapa hari sebelum cabaran, promosi di Facebook, blog dan Instagram sudah dimulakan bagi menghebahkan acara itu kepada pelanggan untuk datang beramai-ramai.

Sebagai ganjarannya Khairul Hakimin menawarkan 120 potongan brownies berserta 10 naskhah buku terbarunya berjudul Terkenal Di Langit untuk diberi secara percuma kepada sesiapa yang membeli kopi daripadanya.

“Tepat jam 1 tengah hari cabaran ini bermula. Pada awalnya hanya dua orang sahaja yang memesan kopi, tetapi 15 minit kemudian berlaku peristiwa yang tidak diduga tiba-tiba kami diserbu pelanggan yang sangat ramai. Berlaku sedikit kelewatan untuk menyerahkan kopi yang sudah dipesan dan menyebabkan kami terpaksa membuat pelan kedua dengan mengambil pesanan daripada mereka yang masih beratur,” katanya.

Kopi dari KPKopies ini agak sukar untuk dibuat kerana menggunakan biji kopi asli dari Brazil. Setiap satu cawan, biji kopi perlu dikisar halus menggunakan susu yang sudah diwapkan selama beberapa saat.

Itu menjadikan penyediaan satu-satu cawan kopi itu memakan masa, tetapi ia ternyata sangat enak. Hampir semua pelanggan yang hadir memuji kehebatan kopi ini. Hanya dalam tempoh satu jam, 45 cawan kopi berjaya dijual.

Tujuan cabaran ini sekali gus untuk mempromosikan perniagaan kopi syarikat keluarga Haji’s Enterprise di bawah jenama KPkopies, yang dikendalikan tiga usahawan berasal dari Johor. Mereka amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dengan menawarkan kopi mengikut cita rasa pelanggan.

Ada 12 jenis hidangan kopi dan teh berkualiti tinggi berharga antara RM3.90 hingga RM9.90 disediakan dengan penuh teliti oleh barista bertauliah. Selain itu, terdapat juga pilihan pastri, kuih, roti dan biskut sebagai pelengkap kopi mereka.

Kios KPkopies di Kasturi Walk Pasar Seni adalah cawangan pertama yang baru dilancarkan pada 13 Februari lalu. Haji’s Enterprise juga merancang mengembangkan perniagaan KPkopies secara mobil menggunakan trak makanan dalam tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 11:17 AM