Oleh Nor Faizah Mohamed


Perubahan musim demi musim menyaksikan wujudnya pelbagai budaya gastronomi di seluruh dunia.

Menikmati secangkir kopi tidak lagi dilakukan ketika sarapan atau sebelum memulakan hari, namun ia kini dianggap sebagai budaya baru dalam masyarakat.

Meskipun bukan peminat tegar kopi, penulis gemarkan aromanya yang membangkitkan deria juga menyegarkan minda yang keletihan.

Dan kala bercerita mengenai kopi kegemaran bersama teman, pasti terselit kisah si barista (pembuat kopi) comel yang sentiasa menitipkan kata-kata semangat di cawan kertas kami.

Sedikit sebanyak ia juga menjadi antara daya tarikan kami berdua untuk terus mengunjungi kafe itu walaupun ada kafe lain yang lebih menarik menunya.

Pernah juga cuba berbual santai dengan barista terbabit mengenai kopi yang disediakannya untuk kami namun perbualan terpaksa dihentikan dek makin ramai pelanggan yang menunggu giliran.

Lalu saat berpeluang bertemu dengan lelaki ini, laju saja mulut bertanyakan soalan yang sama.

“Itu antara salah satu tugas barista. Selain memenuhi pesanan pelanggan, perlu juga beramah-tamah agar pelanggan gembira dengan keseluruhan perkhidmatan itu

“Kopi ini luas skopnya. Ada puluhan malah ratusan jenis kopi di seluruh dunia dan boleh dikatakan ia industri yang makin berkembang di Malaysia,” ujarnya memulakan bicara.

Levi Asher bukanlah nama asing dalam arena kopi tempatan. Memulakan karier kopinya di Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) sebagai pekerja sambilan, Levi kini salah seorang daripada tiga yang memiliki sijil AST (Advanced Store Trained) di Barista Guild Asia.

“Saya mempunyai pengetahuan sifar mengenai kopi sebelum bekerja di CBTL. Apa yang saya tahu, kopi cumalah kopi O dan Nescafe yang ibu sediakan.

“Asalnya, saya bekerja sambilan di kafe itu hanyalah untuk menambah wang poket dan mengisi masa senggang jika tiada kelas pengajian grafik di IACT.

“Tetapi makin lama saya lihat ia bidang yang menarik dan mengujakan. Saya mula ketahui sejarahnya, bagaimana setiap jenis biji kopi ditanam, proses memanggangnya dan cara betul merasa kopi.

“Banyak benda baru yang saya pelajari dan bermacam perkara menarik yang berlaku setiap hari. Tiada hari yang membosankan apabila ia membabitkan kopi,” katanya yang menggemari kopi dari Habsyah.

Bidang rekaan grafik masih diminatinya cuma Levi berasakan dirinya lebih sesuai dikelilingi ribuan biji kopi.

Selepas dua tahun di kafe itu, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini ditawarkan jawatan pengurus kopi di kafe The Bee, Petaling Jaya pada 2008.

“Ketika itu, kopi khusus atau ‘specialty coffee’ ini belum dikenali di Malaysia, jadi saya tertarik dengan apa yang ditawarkan di The Bee.

“Di The Bee, saya mula menghargai kopi dan belajar bermacam jenis serta rasa kopi. Selepas tiga tahun bersama The Bee, saya cabar diri dengan sertai Kejohanan Barista Malaysia pada 2013.

“Di kejohanan itu, peserta perlu menunjukkan kemahiran dan pengetahuan mengenai kopi khusus ini. Percubaan pertama saya kurang memberangsangkan walaupun awalnya berjaya berada dalam kelompok 15 terbaik.

“Namun saya tidak kesal atau kecewa kerana tidak terpilih ke peringkat seterusnya, malah memberikan inspirasi untuk meningkatkan lagi pengetahuan dalam bidang ini,” jelasnya.

Ketaasubannya menambah ilmu mengenai dunia kopi seterusnya mencetuskan minat untuk mengikuti kursus di Barista Guild Asia.

Di akademi itu, Levi berjaya memperoleh sijil SCAE (Specialty Coffee Association of Europe) yang menamakannya antara barista berkelayakan tinggi di rantau Asia.

“Lebih banyak yang saya belajar mengenai kopi membuatkan saya makin ingin tahu dan berkongsi mengenainya.

“Sepanjang mengikuti kursus di Barista Guild Asia, saya tertarik untuk menjadi salah seorang tenaga pengajarnya.

“Bagi saya, perkara yang baik dan bermanfaat sepatutnya dikongsi dengan lebih ramai khalayak lalu saya sertai beberapa kursus dan ujian lain hinggalah terpilih sebagai pengajar sepenuh masa di sana,” ujarnya.

Melihatkan kepada budaya kopi yang makin hangat di negara ini, Levi menyifatkan ia terhasil daripada pengaruh generasi muda yang banyak mengembara ke negara luar, selain kemudahan media sosial.

“Tidak sukar untuk mengajar masyarakat Malaysia mengenai budaya kopi ini tetapi ia juga tidak mudah kerana masih ada segelintir yang skeptikal mengenainya.

“Saya lihat ramai yang tidak sukakan kopi kerana mereka tidak tahu mengenai kopi itu. Konsepnya mudah. Lebih banyak kita tahu mengenai sesuatu perkara maka lebih suka dan cintanya kita pada perkara itu.

“Budaya kopi di Malaysia mungkin tidak sehebat di negara Asia lain tapi saya percaya kita akan melangkah ke arah itu,” katanya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 11:58 AM