NORMAH.
NORMAH.
BERMULA sekadar suka-suka kini Normah menjual brownies menerusi dalam talian.
BERMULA sekadar suka-suka kini Normah menjual brownies menerusi dalam talian.
BUFET manisan untuk majlis keraian.
BUFET manisan untuk majlis keraian.
MENYEDIAKAN brownies untuk tempahan pelanggan.
MENYEDIAKAN brownies untuk tempahan pelanggan.
Siti Zarinah Sahib


Semuanya bermula sekadar suka-suka. Daripada seorang penggemar coklat kini wanita ini berjaya menjana pendapatan sendiri dari rumah hanya dengan mengambil tempahan kek, biskut dan brownies yang menjadi kesukaan ramai.

Walaupun ketika itu Normah Omar turut menjalankan khidmat sebagai pereka dalaman namun minat dalam bidang masakan menyebabkan dia tidak melepaskan peluang mengikuti kelas membuat kek dan biskut.

“Bagi saya apa juga pekerjaan boleh menjana pendapatan, asalkan rajin dan tahu caranya. Jika kurang ilmu boleh mengambil kelas yang banyak dianjurkan kemudian amalkan secara konsisten. Insya-Allah ada hasilnya,” katanya memulakan bicara ketika di temui di rumahnya di Kajang, baru-baru ini.

Melihat dan merasai sendiri air tangan wanita ini tentunya ada perbezaan berbanding dengan manisan yang dijual di pasaran. Menjelaskan lebih lanjut, Normah berkata, setiap orang boleh menentukan jenis rasa yang mereka inginkan.

“Kadang-kadang resipi yang dipelajari itu sama saja daripada segi bahannya. Namun saya gemar mengolah sehingga mendapat rasa yang benar-benar enak dan memikat. Biasanya bukan sekali buat sudah menjadi, perlu mengadunkan bahan dua hingga tiga kali sehingga dapat rasa yang diinginkan barulah kek atau biskut ini dijual,” katanya yang menggunakan jenama Delightful Chocs untuk kek dan brownies yang dihasilkan.

Tambahnya, setiap orang mempunyai cita rasa berbeza bergantung kepada apa yang mereka inginkan. Sama ada inginkan kek lebih gebu, manis, kurang manis atau penuh keju. Untuk itu mereka boleh menambah bahan yang diperlukan dalam resipi asal mengikut adunan sendiri.

Menceritakan bagaimana mula menjalankan perniagaan menjual kek menerusi dalam talian, menurut Normah, pada 2008 dia mengambil kelas membuat coklat sekadar ingin menambah kemahiran memasak. Selepas pulang ke rumah Normah cuba mempelbagaikan coklat yang dihasilkan kepada cenderahati untuk majlis keraian.

“Tidak sangka ramai menyukai cenderahati berasaskan coklat yang saya hasilkan sehingga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, hari jadi dan akikah. Gembira dengan sambutan ramai menyebabkan saya cuba mempelbagaikan jenis coklat yang menjadi pilihan ramai,” katanya.

Berasakan apa yang dilakukan mampu memberikan pendapatan sampingan, dia kemudian menambah kemahiran kepada membuat kek dan brownies. Apatah lagi ketika itu permintaan untuk brownies sangat menggalakkan.

“Saya mengambil kelas asas membuat kek coklat dan brownies yang tengah popular ketika itu. Anak sulung menjalankan promosi menerusi Instagram menggunakan nama @delightful_chocs. Lama-kelamaan produk ini mendapat permintaan ramai sehingga memaksa saya meletakkan brownies di dua butik vendor di Bangi.

“Daripada maklum balas pelanggan, ramai menggemari brownies disebabkan kelainan rasanya - lembut, tidak terlalu manis dan secukup rasa. Antara yang paling digemari pelanggan ialah brownies walnut, coklat dan keju,” katanya yang gemar menghasilkan produk yang mudah dimasak.

Tambahnya lagi brownies atau dikenali sebagai kek bantat ini paling senang dibuat. Dengan hanya mengikut resipi, kek bantat ini pasti menjadi. Bahannya pula mudah dicari. Apa yang membezakannya cuma kelainan rasa dan keenakannya.

Normah turut membuka kelas membuat brownies untuk remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang berminat dalam bidang masakan. Kelas diadakan secara perseorangan atau empat orang dalam satu kumpulan bagi memberikan lebih tumpuan kepada peserta.

“Mempunyai kemahiran memasak adalah satu kelebihan kerana kita dapat menyediakan hidangan untuk keluarga atau berniaga. Sebab itu saya menggalakkan remaja menghadiri kelas memasak kerana ia satu kemahiran yang boleh digunakan kelak,” katanya.

Menjelang Aidilfitri Normah mengakui tidak menang tangan mengambil tempahan pelanggan untuk kek dan juga brownies. Tempahan dibuka untuk mereka di kawasan sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya.

Normah juga turut menyediakan perkhidmatan bufet manisan untuk majlis keraian seperti perkahwinan, hari jadi dan akikah. Antara menu yang disediakan adalah pelbagai jenis brownies, kek coklat, kek cawan dan biskut. Harga untuk pakej bufet bermula pada RM250 serta boleh mengikut bajet pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 11:33 AM