ASYRAF bersama produk Kopi Saigon yang menggunakan kopi asli dari Vietnam.
ASYRAF bersama produk Kopi Saigon yang menggunakan kopi asli dari Vietnam.

SERUNI Enterprise optimis untuk membuka kira-kira 10 cawangan Kopi Saigon menjelang akhir tahun ini.

Pengasas Bersama Kopi Saigon, Asyraf Kamal berkata, antara lokasi yang sudah dikenal pasti adalah di Sri Petaling, Bandar Sunway, Bandar Sri Permaisuri, Setiawangsa, Denai Alam dan Gombak.

Katanya, cawangan pertama Kopi Saigon dibuka di Taman Dato Harun dan pihaknya tidak menjangka strategi memperkenalkan Kopi Saigon yang berasal dari Vietnam itu mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

"Ramai yang menghubungi kami untuk membuka rangkaian Kopi Saigon ini, namun untuk permulaan kami hanya menawarkannya kepada rakan dahulu.

"Paling penting kami mahu menjaga kualiti minuman sebelum mengembangkannya ke luar negeri dan kami tidak mahu tergesa-gesa membuka peluang menjadi rakan niaga Kopi Saigon," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Kopi Saigon terhasil selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua bulan sebelum pihaknya berjaya menghasilkan menu Kopi Saigon mengikut selera Malaysia.

Asyraf berkata, biji kopinya diimport khas dari Vietnam dan buat masa ini antara menu yang dihasilkan adalah kopi saigon, kopi hitam, mocha, kopi kelapa, kopi cincau dan kopi yogurt.

"Kami juga akan memperkenalkan minuman bermusim iaitu kopi vanila pada bulan depan. Walaupun, baru lagi di pasaran, Kopi Saigon sudah terjual lebih 500 cawan sehari.

"Kami sasarkan lebih 5,000 cawan sehari akan terjual melalui 10 cawangan yang akan dibuka kelak," katanya.

Beliau berkata, dengan rasa berkualiti minuman Kopi Saigon dijual hanya pada harga bermula RM5 hingga RM9 mengikut saiz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:10 AM