SKUAD  UniKL bergambar bersama Piala Sumbangsih. FOTO   MOHD YUSNI ARIFFIN
SKUAD UniKL bergambar bersama Piala Sumbangsih. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Ferzalfie Fauzi


UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) memulakan saingan Liga Hoki Malaysia 2020 dengan cemerlang apabila muncul juara Piala Sumbangsih sekali gus merampas kejuaraan daripada Pasukan Hoki Terengganu (THT) dengan kemenangan 3-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

UniKL yang dibimbing Arul Selvaraj terlebih dulu berada di depan pada minit ke-19 melalui pukulan sudut penalti pemain kebangsaan, Razie Rahim.

Bagaimanapun, seakan tersentak dengan jaringan berkenaan, THT bangkit untuk mendahului 2-1 apabila penyerang negara, Faizal Saari melakukan gol padang pada minit ke-26 dan 36. Perlawanan menjadi semakin sengit apabila Razie menyamakan kedudukan pada minit ke-37 melalui pukulan sudut penalti.

Tonggak import dari Belanda, Roel Bovendeert muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-50 untuk membolehkan UniKL menjulang trofi sulung musim ini. Tahun lalu, UniKL berputih mata apabila tumpas melalui penalti shoot out 1-3 ketika berdepan lawan yang sama.

Perlawanan lain menyaksikan Maybank berjaya menumpaskan pendatang baru, Hockademy 4-1. Gol awal Arif Sabron pada minit ke-24, tidak memberi sebarang makna apabila Maybank bangkit dengan meledak empat jaringan melalui Haziq Samsul (25&51), Nur Asyraf Ishak (34) dan Aslam Hanafiah (44).

Turut bermula dengan kemenangan ialah TNB yang menumpaskan TNB Thunderbolts 3-1. Gol TNB disumbang Norsyafiq Sumantri pada minit ke-26, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (48) dan Aminudin Mohd Zain (52), manakala gol tunggal TNB Thunderbolts dijaringkan Fahmi Khalid (43).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 10:32 PM