BARISAN pemain SSTMI selepas menang menentang Anderson.
BARISAN pemain SSTMI selepas menang menentang Anderson.
Naqib Nor Said

AKHIMULLAH Anuar Esook menenggelamkam penyerang Anderson Thunderbolts, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal apabila meledak dua gol ketika membantu SSTMI Thunderbolts mengatasi lawannya itu 3-2 dalam aksi Liga Hoki Remaja Malaysia, hari ini.

Dia bijak menguis masuk bola pukulan sudut penalti seawal minit keempat sebelum menyempurnakan pukulan penalti pada minit kelapan untuk membuktikan statusnya sebagai penyerang muda paling tajam ketika ini dengan Muhammad Hazzim Amin Hafidz memastikan kemenangan SSTMI Thunderbolts dua minit sebelum berakhir aksi.

“Memang pasukan amat memerlukan dia,” kata jurulatih SSTMI Thundeerbolts, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman mengenai sentuhan penyudah Akhimullah.

“Bagaimanapun, ada beberapa peluang terhidang disia-siakannya tetapi dia berjaya padam kegagalannya itu dengan satu gol pukulan sudut penalti dan penalti selepas Anderson berjaya memberi tentangan sengit.”

Meskipun terlepas deretan peluang, namun dua gol tadi memastikan Akhimullah kekal menerajui senarai penjaring terbanyak dengan tujuh selain terus mengekalkan rekod bersih menjaringkan gol pada setiap perlawanan musim ini.

Akhimullah dan Azrai menjadi perbandingan sebelum perlawanan dengan penyerang Anderson itu turut memiliki larian pantas dan penyudah tajam sama seperti Akhimullah.

Bagaimanapun, Azrai yang masih segar dengan kejayaan hatrik menewaskan MBPJ Tigers 4-1 kelmarin gagal mengekalkan rentak jaringannya biarpun beraksi baik tadi.

Dua gol Anderson dalam aksi di Stadium SSTMI itu dihasilkan oleh Arif Sabron pada minit kedua dan Mohammad Syazwan Syafiq Basir (m-42).

Kemenangan itu membolehkan naib juara musim lalu itu terus melebarkan penguasaan liga kepada 12 mata selepas empat perlawanan, enam mata di depan SSBJ Thunderbolts serta AHP-SSP Thunderbolts yang menjinakkan SSTMI 2-1 di stadium sama.

Sementara itu, jaringan Muhammad Syahir Hasif Harun dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini memastikan AHP-SSP Thunderbolts bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas SSTMI yang berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol Muhammad Ikhmal Hakim Mohd Rodzi (m-39).

KEPUTUSAN:

SSTMI T’bolts...3 Anderson T’bolts...2

Olak...0 MBPJ Tigers...4

MSNSSN Perlis...2 SSMS Resilient...3

SSTMI...1 AHP-SSP T’bolts...2

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 12:31 AM