Pengurus Kanan Pusat IBS, Idrus Din menerangkan contoh perumahan di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), semalam.
Pengurus Kanan Pusat IBS, Idrus Din menerangkan contoh perumahan di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), semalam.

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yakin mencatat 300 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbabit dalam penghasilan komponen sistem bangunan industri (IBS) selaras inisiatif kerajaan dalam pemerkasaan industri pembinaan.

Setakat ini, mengikut rekod CIDB ada 200 PKS mempunyai kilang penghasilan komponen IBS di seluruh negara dengan 20 peratus daripada jumlah berkenaan usahawan Bumiputera.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Teknologi CIDB, Datuk Ir Elias Ismail berkata, sektor pembinaan dijangka berkembang pesat selepas kerajaan meletakkan syarat pelaksanaan IBS dalam setiap projek pembinaan di negara ini dengan pelbagai insentif diperkenalkan.

Beliau berkata, penggunaan IBS dalam setiap aspek pembinaan dijangka merangsang pertumbuhan industri, sekali gus ia meningkatkan permintaan dan pembekalan komponen kumpulan PKS tempatan.

“Selain melaksanakan agenda nasional, ia mempunyai kebaikan lain seperti kerja pembinaan dijalankan lebih cepat dengan kos rendah dan mewujudkan ekosistem ekonomi terancang dan berdaya saing,” katanya.

Elias menyifatkan peruntukan dana RM500 juta disalurkan melalui SME Bank di bawah Dana Promosi IBS dalam pembentangan Bajet 2016 yang lalu oleh Perdana Menteri boleh digunakan sebagai modal membuka kilang pengeluaran komponen IBS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 6:56 AM