SATU daripada projek pembangunan menggunakan sistem IBS.
SATU daripada projek pembangunan menggunakan sistem IBS.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia antara negara yang terawal mengguna pakai Sistem Pembinaan Perindustrian (IBS) iaitu sejak 1966 bagi pembinaan flat pekeliling, sekali gus membuktikan negara ini sudah lama mempraktikkan penggunaan kaedah moden itu.

Bagaimanapun, kaedah itu sekali lagi menjadi topik panas perbincangan dalam kalangan pemain industri yang menyambut secara positif mahupun berpandangan negatif sehingga menyebabkan kerajaan memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan penggunaannya.

Pengurus Teknikal NS Prefab Consultancy, Saiful Adli Abdul Karim berkata, perkembangan agak memberangsangkan di negara lain terutama di negara jiran dilihat mula mempengaruhi apabila melihat banyak manfaat yang diperolehi dan dirasai dengan penggunaan sistem IBS.

“Malaysia semestinya bersedia melaksanakan IBS, malah industri kita sudah mampu untuk melihat perlaksanaan IBS dalam skala yang lebih besar.

“Semestinya, perkembangan positif ini akan menuntut kelahiran lebih kepakaran dalam pembinaan berasaskan IBS baik dari sudut khidmat pakar rundingan, pengeluar baik berskala besar mahupun kecil, tenaga pakar pemasangan komponen juga kepakaran kawalan dan pemantauan kualiti,” katanya kepada Bisnes Metro.

Saiful berkata, faktor ‘economics of scale’ adalah antara faktor terpenting yang perlu diambil kira untuk perlaksanaan sistem IBS.

“Ini yang menentukan sama ada kita berjaya mendapatkan manfaat sepenuhnya perlaksanaan sesuatu sistem, iaitu dari sudut teknikal dan sudut ekonomi.

“Penggunaan tenaga pakar dan separa pakar untuk menjayakan sistem ini amat penting kerana ia meningkatkan standard pembinaan kita selaras peningkatan taraf hidup dan prospek kerjaya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar IBS & Mekanisasi, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Ir Noraini Bahri berkata, IBS bukan setakat kayu pengukur kejayaan dalam mencapai pembinaan rumah mampu milik, malah IBS meliputi segenap aspek yang dapat membantu perkembangan industri pembinaan.

Beliau berkata, penggunaan IBS sebenarnya adalah pilihan terbaik kerana lebih berdaya saing dan menawarkan kualiti kepada binaan terbabit.

“Tiada lagi isu mengenai IBS menghasilkan produk binaan yang tidak berkualiti, berikutan sekarang lebih banyak pihak yang semakin memahami konsep IBS dan terbuka untuk menerimanya secara meluas sama ada daripada sektor kerajaan mahupun swasta.

“IBS itu sendiri adalah kaedah penggunaan komponen ‘manufactured in a controlled environment’ sama ada di tapak pembinaan atau luar tapak yang dibawa masuk ke tapak untuk kerja pembinaan.

“Sebenarnya, apabila sesuatu pembinaan itu mengguna pakai IBS, pemaju dapat menjimatkan masa, mengurangkan pekerja di tapak binaan dan paling penting koordinasi dapat dijalankan di peringkat awal projek tanpa menjejaskan kerja di tapak pembinaan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 9:09 AM