ANTARA kenderaan yang mengalami kerosakan selepas ditimpa pokok tumbang di Jalan Pinang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA kenderaan yang mengalami kerosakan selepas ditimpa pokok tumbang di Jalan Pinang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian pokok tumbang sehingga hampir menghempap kenderaan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusohdi Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank, di sini petang ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi berkata, sebarang perkembangan pihaknya akan memaklumkan dalam masa terdekat.

"Ya kita sahkan, ada kejadian. Sebarang perkembangan kita akan maklum," katanya.

Difahamkan, kejadian pokok tumbang itu mengenai sebuah kenderaan polis yang mengiringi rombongan Ab Rauf.

Ketika kejadian, kenderaan Proton X70 terbabit mengiringi tiga lagi kenderaan termasuk kenderaan dinaiki Ab Rauf dan mereka dalam perjalanan untuk satu urusan di ibu kota.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabtan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan tiada panggilan kecemasan diterima pihaknya berhubung kejadian pokok tumbang itu.

"Bagaimanapun, jentera tetap dihantar ke lokasi untuk bantuan," kata kenyataan itu.

Terdahulu, hujan lebat di ibu negara menyebabkan satu lagi kejadian pokok tumbang berlaku di Jalan Pinang.

Kejadian itu tular di laman sosial yang memaparkan pokok tumbang sebelum menghempap beberapa kenderaan.

Sebuah media melaporkan, kejadian pokok tumbang itu turut hampir mengenai kenderaan Ketua Menteri Melaka.

Bagaimanapun, keadaan beliau dan kenderaan yang dinaiki Lexus 350 dilaporkan dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 5:58 PM