TEN Hag akur dengan nasib pasukannya musim ini.
TEN Hag akur dengan nasib pasukannya musim ini.
Reuters

London: Pengurus Manchester United Erik ten Hag menyalahkan krisis kecederaan dialami kelabnya yang menjadi punca kempen mengecewakan musim ini.

Terbaru United tewas 0-1 kepada Arsenal di Old Traffrod dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kekalahan kesembilan di tempat sendiri dalam semua kejohanan musim ini.

United yang kini menyamai rekod jumlah kekalahan terbanyak di tempat sendiri dalam semusim menyaksikan sekurang-kurangnya enam pertahanan tersisih akibat kecederaan selain perancang Bruno Fernandes dan penyerang Marcus Rashford.

Ten Hag yang terpaksa menurunkan Casemiro di bahagian pertahanan tengah sejak akhir-akhir ini hanya mampu melihat gawangnya dibolosi 82 gol dalam semua kejohanan musim ini, rekod terburuk dalam satu musim sejak 1970-71.

"Saya tak tahu di mana kami sepatutnya berada jika semua pemain dapat beraksi tetapi sudah tentu anda akan mendapat mata," kata Ten Hag dalam laman web kelab.

"Anda pasti akan lebih konsisten terutamanya di bahagian belakang. Kami melepaskan banyak peluang, dibolosi banyak gol dan tahun lalu kami paling bersih di EPL.

"Anda tak akan maju jika kekurangan pemain di beberapa bahagian. Tapi kami masih layak ke final kejohanan piala. Ini sudah bagus. Namun jika mahu lebih konsisten, anda perlukan pemain yang cergas," katanya.

Baki perlawanan liga United termasuk menentang pasukan di tangga keenam Newcastle United pada Khamis ini diikuti kunjungan ke Brighton & Hove Albion pada Ahad.

Mereka akan berdepan Manchester City pada final Piala FA di Wembley pada 25 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 6:54 PM