KAEDAH IBS dapat mengurangkan penggunaan pekerja asing.
KAEDAH IBS dapat mengurangkan penggunaan pekerja asing.
CONTOH rumah yang menggunakan kaedah IBS.
CONTOH rumah yang menggunakan kaedah IBS.
UNIT rumah bagi Projek Perumahan Seri Pajam, Negeri Sembilan dibina menggunakan kaedah IBS.
UNIT rumah bagi Projek Perumahan Seri Pajam, Negeri Sembilan dibina menggunakan kaedah IBS.
Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang juga dikenali sebagai pembinaan pasang siap bukan perkara baharu kerana teknologi itu digunakan secara meluas di negara maju.

Menerusi IBS, komponen binaan dihasilkan di kilang dalam persekitaran terkawal dan dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang menjadi struktur dengan tenaga kerja yang minimum.

Ia bermatlamat meningkatkan kualiti bangunan dan kerja, mengurangkan penggunaan buruh asing di tapak projek serta mempercepatkan kerja pembinaan.

Ketika ini, terdapat lima jenis IBS yang digunakan secara meluas di Malaysia iaitu kaedah pasang siap, panel dan sistem kekotak; kaedah acuan keluli; kaedah kerangka keluli, kaedah kerangka kayu dan kaedah kerja blok.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mokhtar Samad berkata, IBS sebenarnya sudah lama digunakan di negara ini namun popular dengan nama berbeza iaitu pembinaan pasang siap.

“Ia bermula dengan projek perumahan Flat Pekeliling di Kuala Lumpur pada 1967 dan selepas itu banyak bangunan dibina dengan teknologi IBS masih kekal utuh antaranya Kompleks Dayabumi yang menjadi mercu tanda suatu ketika dulu.

“Kini seiring peredaran zaman, lebih banyak bangunan dibina dengan teknologi IBS terutama bagi projek pembinaan segera dan sesuai untuk semua tempat,” katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan enam sekolah di Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau; SK Nanga Pua Selangau; SK Kalok Pusa, Betong; SK Abang Man Simunjan dan SK Kampung Tanam Mukah akan dibaikpulih menggunakan IBS

Beliau berkata, penggunaan sistem itu lebih menjimatkan dan bangunan sekolah dapat disiapkan dalam masa lebih singkat.

“Kejayaan penggunaan IBS untuk membaikpulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil dijadikan perintis untuk memperluaskan sistem itu ke sekolah lain yang perlu dibaikpulih.

“Menerusi kejayaan ini, saya berharap ia dapat memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menambahbaik prasarana sekolah,” katanya.

Mokhtar berkata, beliau berharap kerajaan akan memberikan lebih banyak peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk terbabit dalam sektor pembinaan menggunakan IBS selain memberikan kursus dan insentif dalam bidang berkaitan.

Sebelum ini, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata, kerajaan memperuntukkan RM500 juta di bawah program Dana Promosi IBS yang diumumkan melalui Bajet 2016 lalu yang dilihat dapat meningkatkan perkembangan teknologi terkini itu di negara ini selari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Pada ketika ini, kerajaan sedang giat membincangkan mengenai pelaksanaan RMK-11 untuk sektor pembinaan di mana mereka merancang untuk menggunakan prapelan diluluskan di mana ia membolehkan penggunaan komponen berasaskan IBS secara mudah,” katanya.

Katanya, pada masa ini penggunaan IBS masih berada pada tahap rendah di mana kurang daripada 24 peratus projek kerajaan menggunakan komponen IBS bagi pembinaan bangunan kerajaan dan 20 peratus bagi projek pembinaan bangunan swasta.

Menurutnya, IBS bukan perkara baru di mana ia dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing pada masa depan dan tempoh lima tahun terakhir sebelum 2020 ini memerlukan sektor pembinaan memiliki satu mekanisme terbaik untuk memantau serta melaksanakan lagi projek pembinaan dengan menggunakan komponen IBS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 8:45 AM