BERI kaya dengan flavonoids.
BERI kaya dengan flavonoids.

Masalah mati pucuk atau disfungsi erektil (ED) adalah lumrah dan ia menjadi satu rahsia yang sukar dibincangkan dalam kalangan lelaki.

Ia berkaitan dengan kesihatan seseorang dan satu isyarat kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti penyakit jantung koronari, diabetes dan strok. Lazimnya, pesakit akan menyimpan masalah ini dan mencuba pelbagai herba mahupun ubat tradisional kerana faktor malu atau ego.

Masalah ED boleh juga berpunca daripada pelbagai punca seperti kesan sampingan ubat-ubatan tertentu, penyakit diabetes, pengambilan alkohol, merokok, tekanan, tidak aktif secara fizikal atau kurang bersenam, kecederaan, ketidakseimbangan hormon, penyakit jantung, penyakit darah tinggi, ketagihan dadah, kerosakan saraf dan terlalu keletihan.

Ada juga faktor psikologi seperti rasa rendah diri ‘tidak mampu’, kemurungan, rasa bersalah, masalah hubungan dengan pasangan dan tekanan yang melampau.

Jika masalahnya adalah selain daripada masalah saluran darah arteri yang menyempit, maka ubat-ubatan seperti sildenafil, taladafil dan verdanafil tidak akan berkesan. Faktor psikologi perlu dirawat puncanya daripada aspek psikologi.

Secara fisiologinya, fungsi ereksi zakar adalah satu interaksi kompleks antara saraf, otot, emosi, hormon, otak dan pengaliran darah ke zakar. Apabila saluran darah arteri yang menyalurkan darah ke zakar menjadi sempit akibat masalah pengerasan saluran darah atau ‘atherosklerosis’ maka pengaliran darah ke zakar akan terganggu menyebabkan masalah mati pucuk atau zakar tidak mencapai ketegangan yang mencukupi.

Saluran darah arteri ke zakar adalah lebih kecil berbanding dengan saluran darah ke jantung, buah pinggang dan otak. Oleh itu jika seseorang mengalami masalah mati pucuk ia adalah petanda awal masalah serangan jantung, buah pinggang dan strok di masa hadapan. Bagi pesakit diabetes pula, di samping masalah kerosakan saluran darah, faktor hormon testosteron yang rendah juga menyebabkan masalah mati pucuk. Makanan yang kita ambil juga boleh mempengaruhi kesan jangka masa panjang untuk masalah mati pucuk.

Dalam satu kajian oleh Universiti Harvard yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada 2016 membabitkan kajian selama 20 tahun menunjukkan, lelaki yang makan lebih tinggi makanan yang mengandungi flavonoid tiga kali seminggu mempunyai risiko yang lebih rendah mendapat masalah mati pucuk apabila mereka sudah berusia.

Pengkaji dalam kajian ini mengawal sampel kajian membabitkan 25,000 peserta berdasarkan faktor seperti aktiviti fizikal, pengambilan arak, diabetes dan faktor fizikal lain seperti kegemukan yang juga boleh menyebabkan masalah mati pucuk.

Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan lelaki yang berumur kurang 70 tahun mempunyai risiko 11 hingga 16 peratus lebih rendah mendapat masalah mati pucuk apabila mereka mengamalkan makanan yang tinggi flavonoid.

Makanan yang mengandungi flavonoid adalah makanan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan yang mempunyai sifat antioksidan, oleh itu ia membantu melawan kesan radikal bebas yang boleh merosakkan saluran darah dan saraf.

Bahan flavonoid ini membantu masalah mati pucuk dengan memodulasi laluan isyarat sel iaitu secara selektif menghalang enzim kinases, regulator fungsi sel dan kitaran sel dan mengurangkan keradangan serta respons lekatan sel yang menyebabkan masalah atherosklerosis pada dinding saluran darah arteri yang menjadi punca kepada saluran darah ke zakar menjadi sempit.

Wujud bukti yang kuat melalui kajian saintifik menunjukkan bahan flavonoid ini juga membantu mengurangkan risiko sakit jantung koronari, strok, kanser, penyakit saluran darah, darah tinggi dan penyakit saraf neurodegeneratif di mana tanda awal semua penyakit kronik itu adalah masalah mati pucuk.

Apakah makanan yang kaya dengan flavonoid ini. Secara umumnya semua buah-buahan mengandungi bahan flavonoid ini tetapi ada beberapa buah-buahan yang mempunyai kandungan flavonoids lebih tinggi daripada yang lain seperti buah berri (cranberi, blueberi, blackberi, strawberi, raspberi, ceri), zaitun, delima, tin, pisang, plum, pic, limau, pitaya, kurma and daun teh.

Antara bahan semula jadi yang boleh diambil sebagai suplemen untuk membantu masalah mati pucuk dalam kategori ringan dan sederhana adalah seperti ekstrak tongkat ali, esktrak ginseng, buah tin, pati minyak zaitun, minyak ikan, piknogenol, L-arginine dan teh yohimbine kerana kajian menunjukkan bahan berkenaan membantu meningkatkan paras nitrik oksida (NO) dalam otot lembut saluran darah pada zakar yang menyebabkan pertambahan pengaliran darah ke zakar.

Gaya hidup dan pemakanan yang sihat perlu kita amalkan untuk mengekalkan kelelakian seseorang dengan mengamalkan beberapa tip seperti mengurangkan atau tidak mengambil langsung gula dalam pemakanan seharian kita kerana penggunaan gula yang tinggi akan mengganggu hormon testosteron dan menurunkan nafsu syahwat.

Mengawal paras glukosa darah dan paras insulin dalam tubuh seseorang juga amat penting untuk mengelakkan masalah mati pucuk awal.

Mengehadkan vitamin D dalam tubuh juga penting untuk keseimbangan hormon juga mencegah penyempitan saluran darah ke zakar.

Bersenam setiap hari dan kekal aktif secara fizikal juga amat penting untuk mengekalkan paras hormon dan meningkatkan pengaliran darah.

Berhenti merokok dan elakkan pengambilan arak juga penting untuk menjaga kesihatan seksual. Kita juga perlu memastikan rehat dan tidur yang cukup setiap hari yang boleh membantu mengekalkan tenaga kelelakian hingga ke usia emas. Insya-Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:00 AM