FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Risiko masalah berkaitan eractile dysfunction atau 'mati pucuk' dalam kalangan lelaki yang menghidap penyakit diabetes adalah 3.5 kali lebih tinggi berbanding lelaki tanpa penyakit itu.

Pakar Perunding Urologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Goh Cheng Hood berkata, 10 peratus lelaki mengalami masalah mati pucuk setelah berusia 40 tahun ke atas, dan apabila umur semakin lanjut, risikonya turut meningkat.

"Ereksi membabitkan peningkatan aliran darah dalam arteri dan mengurangkan aliran darah keluar dari urat.

"Diabetes mengganggu proses ini disebabkan oleh neuropati, penurunan paras nitrik oksida (NO) dan peningkatan faktor protrombin, yang menyebabkan aliran darah berkurangan dan terjadinya pembekuan saluran darah," katanya.

Beliau berkata, bagi kebanyakan lelaki, maskuliniti dan harga diri mereka berkait rapat dengan prestasi seksual mereka, dan inilah sebabnya masalah mati pucuk boleh memberi kesan yang mendalam terhadap keyakinan dan nilai diri seseorang," katanya.

Beliau berkata, 21 peratus pesakit lelaki dengan masalah mati pucuk mengalami disfungsi yang teruk, bagaimanapun ini tidak seharusnya menghalang lelaki daripada mendapatkan bantuan profesional seawal mungkin sebelum keadaan bertambah buruk.

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Lim Kim Piow menjelaskan penyakit-penyakit saluran darah, disfungsi serta pengumpulan glikasi hasil daripada hiperglisemia.

"Ini boleh menjejaskan otot vaskular pada zakar dan akhirnya boleh membawa kepada masalah mati pucuk," katanya.

Beliau berkata, selain kesan fizikal, kesan emosi yang disebabkan oleh masalah mati pucuk juga sering dipandang remeh, dan ia boleh merenggangkan hubungan intim antara suami isteri yang seterusnya membawa kepada isu komunikasi dan berbeza pendapat di antara pasangan.

Dr Lim amat bersetuju bahawa pemakanan memainkan peranan penting yang dalam menguruskan diabetes dan kesihatan tubuh, dan mereka yang mengalami diabetes perlu menguruskannya dengan memakan makanan berkhasiat yang boleh mengawal Tekanan Darah Tinggi, Kolesteral dan High Blood Sugar.

"Cara pemakanan yang sihat harus mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, dan protein tanpa lemak. Anda juga dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan yang diproses dan makanan dengan indeks glisemik (GI) tinggi seperti roti putih, mi segera, daging proses dan snek bergula atau masin," katanya.

Sementara itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), lelaki lebih berisiko tinggi untuk mendapat diagnosis penyakit diabetes berbanding wanita disebabkan perbezaan hormon dan taburan lemak badan.

Hari Diabetes Sedunia pada 14 November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 8:55 AM