BANTUAN terakhir sekiranya penyakit sudah serius. - ilustrasi implan zakar
BANTUAN terakhir sekiranya penyakit sudah serius. - ilustrasi implan zakar
RAMAI ambil jalan tidak betul termasuk dapatkan ubat di tepi jalan tanpa jaminan ia selamat.
RAMAI ambil jalan tidak betul termasuk dapatkan ubat di tepi jalan tanpa jaminan ia selamat.
Kusyi Hirdan


Perbincangan mengenai perkara ini memang sangat sensitif kerana ia membabitkan seksual lelaki. Mereka mungkin boleh berbincang sesama teman lelaki mengenai masalah seksual, tetapi tidak dengan doktor.

Maka sering terjadi keadaan saling meneka dan memberi pendapat cara memulihkan masalah yang dihadapi. Memburukkan keadaan apabila nasihat atau saranan kawan yang tidak bertauliah itu diambil juga sebagai ‘bantuan’.

Membincangkan topik ini dengan doktor lelaki, penulis sendiri berasakan ia topik yang menarik. Apatah lagi dengan begitu banyak lambakan ubat penguat seksual yang dijual di pasaran. Ia diiklan dengan mudah manakala fakta penyokong tidak diketahui kesahihannya.

Secara teori, keinginan seksual lelaki tidak sukar untuk dirangsang. Bagi yang normal, mereka boleh terangsang pada banyak keadaan. Melihat, membayang, menyentuh atau disentuh. Atau sekadar menghirup haruman yang dipakai oleh seorang wanita. Ia cukup mudah.

Namun bagaimana sekiranya semua yang disebut di atas tidak memberikan apa-apa kesan? Satu, ia berkaitan dengan keinginan sama ada mempunyai keinginan terhadap seks atau sudah tertutup rapat. Dua, adakah kerana alat kelaminnya tidak berfungsi?

Ia permasalahan berbeza dan bantuan yang diperlukan juga tidak sama - secara psikologi atau perubatan atau kedua-duanya sekali.

Pakar perunding urologi Dr Christopher Ho Chee Kong berharap topik ini dapat diuar-uarkan memandangkan banyak mitos dan salah faham mengenai masalah seksual lelaki.

Apabila berlaku, ramai yang mengambil jalan tidak betul, kononnya mahu berubat secara tradisional atau membeli ubat di tepi jalan tanpa mengetahui kandungannya juga jaminan keselamatannya.

“Terkini ada yang mendapat idea baharu dengan menyucuk zakar dengan sejenis minyak yang didakwa elok untuk mereka. Ia dikatakan untuk membesarkannya. Apa yang terjadi, minyak itu sangat bahaya dan membuatkan zakar mereka menjadi teruk, hitam, membusuk dan sakit sehinggakan tidak boleh berjalan.

“Lelaki selalunya akan berasakan hidup mereka ‘musnah’ sekiranya tidak berjaya berfungsi dalam hubungan kelamin. Ada pesakit yang berumur 80 tahun mahu mendapatkan rawatan kerana beristeri muda.

“Sebenarnya usia bukan penentu kepada masalah mati pucuk. Ada yang lebih muda. Ada juga kes yang datang kerana ‘paksaan’ isteri dan isteri ada bersama-sama, berharap masalah suaminya dapat dipulihkan,” katanya.

Jangan salah ambil ubat

Definisi mati pucuk ialah kegagalan alat kelamin berfungsi untuk melakukan hubungan kelamin.

“Paling penting lelaki tidak boleh mengambil sebarang ubat tanpa berjumpa doktor terlebih dahulu kerana banyak yang perlu diambil kira. Ini termasuk tahap kesihatan sama ada menghidap penyakit yang tidak membolehkan anda mengambil ubat itu, dos, fungsi ubat, cara pengambilan dan pelbagai lagi. Sekiranya salah ia boleh membahayakan.

“Bagi lelaki, mati pucuk atau kegagalan untuk melakukan hubungan kelamin adalah suatu tragedi yang tidak mahu dilalui oleh sesiapa pun,” katanya.

Jika ia sangat penting kenapa lelaki masih enggan berjumpa doktor?

“Malu. Mereka lebih rela menggunakan ubat-ubatan yang banyak diiklankan di tepi jalan atau di laman sosial supaya orang tidak tahu. Lebih merisaukan apabila lelaki berani menyuntik alat kelamin mereka dengan ubat atau minyak yang mendakwa dapat ‘membantu’ masalah mereka,” katanya.

Kita biasa mendengar lelaki mengambil ubat makan, juga tanpa bertemu doktor tetapi kini keberanian mereka bertambah.

“Sebenarnya, jika mereka bertemu doktor ia boleh diatasi. Mungkin masalah mereka tidak sebesar mana. Kami hanya perlu memeriksa bagi mengetahui tahap kesihatan dan apa yang perlu untuk mereka. Mungkin mereka hanya perlu rawatan oral,” katanya.

Selepas diperiksa, tahap bantuan yang perlu diberi akan diketahui dengan mudah. Sama ada hanya ubatan oral atau bantuan alatan dan suntikan yang selamat. Pada tahap ketiga barulah dicadangkan bantuan pembedahan dan implan. Itu pun selepas dikenal pasti.

Mitos dan fakta mati pucuk

Terlalu banyak mitos mengenai mati pucuk sehingga ramai menyangka ia benar. Ia menakutkan lelaki dan mula membuat telahan sendiri.

Paling biasa kita dengar, hanya lelaki tua menghidapnya sedangkan menurut Dr Ho, ia tidak benar.

“Ia mitos. Walaupun ia dikatakan biasa menimpa warga tua tetapi mati pucuk boleh terjadi kepada sesiapa saja tanpa mengira usia. Banyak masalah kesihatan yang menyumbang kepada berlaku keadaan ini seperti obesiti, sakit buah pinggang, darah tinggi dan penyakit jantung. Merokok juga dikenal pasti antara punca mati pucuk,” katanya.

Adakah masalah peribadi turut menyumbang kepada mati pucuk?

“Apabila lelaki mempunyai masalah mati pucuk atau kegagalan fungsi seksual, sebenarnya inilah punca kegelisahan, murung dan hilang keyakinan diri yang seterusnya membuatkan mereka hilang kualiti hidup. Ia juga menjadi penyebab kepada gangguan mental yang berkait rapat dengan keupayaan lelaki memenuhi tanggapan umum.

“Lelaki sudah biasa dengan tanggapan mereka perlu hebat dalam hubungan seksual. Ditambah pula tekanan lain seperti mahu segera mendapatkan anak kerana keinginan pasangan dan keluarga. Tekanan inilah yang mengganggu keupayaan.

“Ada juga kes suami isteri tinggal berjauhan kerana kerja dan hanya berpeluang bertemu pada hari cuti. Ia juga menyumbang kepada masalah tekanan buat lelaki,” katanya.

Mitos seterusnya yang perlu diketahui ialah lelaki boleh terangsang bila-bila masa saja. Rupanya tidak. Dengan peningkatan usia dan perubahan tubuh, lelaki memerlukan lebih ‘usaha’ untuk merangsang seksualiti mereka. Kehebatan kelelakian akan menurun. Ia lumrah alam. Oleh itu, anda perlu menerimanya dengan tabah.

Mengenai seluar dalam ketat, benarkah ia penyebab terjadinya mati pucuk? Ia sebenarnya meningkatkan haba pada buah zakar namun tidak ada bukti sahih secara perubatan yang menjadikan lelaki mati pucuk. Jadi ia tidak benar selagi tidak dibuktikan kebenarannya.

Boleh diubati

Sekiranya anda mengalami masalah mati pucuk, anda juga tiada keinginan nafsu seks, benarkah begitu?

“Tidak! Nafsu seksual ialah tindak balas hormon manusia dan mati pucuk tidak mengganggu nafsu. Lelaki yang mati pucuk tidak semestinya tiada nafsu.

“Nafsu dipengaruhi hormon testosteron. Lelaki mati pucuk masih boleh ada nafsu. Namun sebaliknya jika tiada nafsu akan membuatkan mati pucuk. Nafsu dan mati pucuk ialah dua perkara berlainan. Lelaki kadang-kadang mengelak seks bukan sebab tiada nafsu tapi takut dia tidak dapat ereksi,” katanya.

Adakah bermasalah untuk terangsang petanda mati pucuk?

“Tidak. Walaupun semua orang berasakan lelaki sentiasa boleh melakukan hubungan seksual tanpa mengira keadaan, sebenarnya jika penat, ada masalah peribadi, gelisah, risau, ia boleh mengganggu keinginan mereka untuk hubungan kelamin,” katanya.

Hakikatnya, proses mengenal pasti penyakit juga tidak lama. Selepas melalui pemeriksaan, ditemu bual terperinci dan ujian darah, anda boleh mengetahui cara rawatan bersesuaian dengan segera.

Kemajuan teknologi memungkinkan ia dirawat dengan jayanya. Sekiranya masalah anda masih pada peringkat awal, mungkin ubatnya mudah saja. Anda juga perlu mengubah gaya hidup seperti mengurangkan berat badan, kerap bersenam, berhenti merokok, mengawal penyakit yang ada seperti diabetes dan hipertensi.

Sekiranya perlu, dapatkan bantuan kaunseling juga kerana 70 hingga 80 peratus masalah ini berjaya diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:02 AM