London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger memuji kemampuan pasukannya untuk menangani corak permainan keras yang diterap Stoke ketika kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Britannia, kelmarin.

Keputusan itu membolehkan Arsenal kembali ke persada Liga Perdana, mengatasi Leicester City menerusi kelebihan gol.

Sambil mengakui Stoke sudah semakin baik sejak dibimbing Mark Hughes, Wenger percaya Potters bermain dengan corak yang agak berbeza berbanding ketika diterajui bekas jurulatih Tony Pulis.

“Stoke mahu mengejutkan kami dengan bermain secara asas sambil menitik beratkan soal fizikal. Kami perlu melawan,” kata Wenger.

“Kami jangka mereka akan mengamalkan corak hantaran pendek tapi mereka memilih untuk bermain sebaliknya dan kami berjaya mengekang pergerakan mereka.”

Hughes bagaimanapun menolak dakwaan Wenger yang menyatakan anak buahnya bermain secara keras dan menjadikan tiada kad kuning dilayangkan pengadil sebagai bukti.

“Saya tidak tahu mengapa aspek fizikal dalam permainan ini perlu disebut. Pada fikiran saya, perlawanan itu berlangsung baik dengan kedua-dua pasukan berusaha untuk menang. Itulah yang kami lakukan.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 7:03 AM