London: Saido Berahino dilabel sebagai ‘budak nakal’ oleh pengurus West Brom Tony Pulis selepas penyerang itu berkata dia berharap dapat berpindah ke kelab lain untuk mengembangkan kariernya.

Pemain berusia 21 tahun itu mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam satu temubual dengan Sky Sports News tetapi kenyataan itu tidak menyenangkan pengurusan kelab.

“Bagi Saido, perkara paling penting ialah dia perlu membuktikan kebolehannya berbanding hanya bercakap mengenainya. Perjalanannya masih jauh,” kata Pulis.

“Apabila dia sudah mencapai tahap yang diperlukan, pasti ada kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.”

Bekas pengurus Stoke City dan Crystal Palace itu berkata: “Dia belum memiliki kriteria untuk menjadi perhatian kelab besar. Saya tidak menerima apa-apa panggilan daripada pasukan lain yang mahu mendapatkannya.”

“Dia sudah berada di kelab ini sejak berusia 10 tahun. Dia dihormati peminat dan individu yang membawanya ke tahap ini.

“Persoalannya, adakah dia mengimpikan untuk bermain di dalam salah satu daripada empat pasukan teratas?

“Memang saya tidak nafikan bahawa itulah impiannya tetapi tugasnya ketika ini ialah berusaha keras untuk kami dan pada masa sama, meningkatkan kemahirannya kerana apabila sampai masanya, pasti ada pasukan yang mahukan khidmatnya.”

Sementara itu, pemain yang baru diikat West Brom, Darren Fletcher berkata: “Dia (Berahino) mungkin bercakap apa yang dirasakannya tetapi dia masih muda dan dia perlu belajar.

“Daripada pemerhatian saya, dia sebenarnya sayangkan West Brom dan dia juga mahu membuktikan kebolehannya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:10 AM