England: Manchester United sekali lagi gagal mengutip tiga mata penuh selepas sekadar seri 1-1 ketika bertemu Stoke City pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Britannia, malam tadi.

Keputusan seri itu yang kedua diraih anak buah Louis van Gaal selepas seri tanpa jaringan ketika bertemu Tottenham Hotspur, Ahad lalu.

Stoke memberi tekanan awal dan pada minit kedua mereka sudah berada di depan menerusi sepakan sudut Marko Arnautovic.

Penyerang tinggi lampai Peter Crouch menyambut sepakan itu dengan satu tandukan ke arah pintu gol sebelum pertahanan Ryan Shawcross menampan masuk bola gagal diselamatkan benteng pertahanan United termasuk penjaga gol David De Gea.

Tersentak dengan jaringan awal itu, United berusaha keras untuk menyamakan kedudukan, tetapi tidak mempunyai ruang terbaik untuk membolosi gawang lawan.

United akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi sepakan kaki kiri Radamel Falcao selepas tandukan Michael Carrick menuju tepat ke arahnya.

Stoke sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-65 selepas tandukan Crouch jelas terkena tangan Chris Smalling tetapi pengadil Michael Oliver enggan mengendahkan rayuan pemain Stoke.

Anak buah Mark Hughes menggandakan asakan selepas itu namun beberapa peluang terbaik terutama menerusi sepakan sudut gagal disempurnakan dengan baik.

United mempunyai peluang terakhir pada masa kecederaan untuk mendahului tetapi sepakan sudut Wayne Rooney disia-siakan begitu saja - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 7:42 AM