Stoke-on-Trent, England: Arsene Wenger mengakui kekurangan pengalaman benteng Arsenal menyebabkan pasukan itu mensia-siakan peluang tipis mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Anak buah Wenger mengalami kekecewaan di Stadium Britannia kelmarin apabila Stoke menang 3-2 sekali gus menambah tekanan terbaru buat pengendali dari Perancis itu.

Gunners ketinggalan 0-3 ketika rehat berikutan persembahan buruk pada babak pertama dan Wenger yang menurunkan pemain berusia 19 tahun di bahagian itu Hector Bellerin, mengakui ketiadaan pemain utama menjejaskan pasukannya.

“Stoke bermula garang dan pertahanan kami tidak begitu bagus,” ujar Wenger.

“Kami memberikan mereka hadiah(dengan Peter Crouch menyumbat gol selepas hanya 19 saat) dan selepas itu terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan.

“Pada babak kedua kami berpeluang bangkit, tapi tidak mampu melakukannya. Pertahanan kami muda dan rapuh dan apabila kami mula bertindak balas, ia sudah terlalu lewat.

“Kami tidak boleh menurunkan (Laurent) Koscielny atau Nacho Monreal dan dengan Mathieu Debuchy turut diketepikan, kami agak kurang berpengalaman di pertahanan.

“Keseluruhannya kami gagal menangani tekanan mereka. Ia membuktikan dalam setiap perlawanan anda perlu komited dan fokus sejak saat pertama. Kami tidak beraksi bagus dari segi bertahan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:43 AM