London: Didorong keyakinan tinggi selepas layak ke final Piala Liga, Tottenham Hotspur bakal memulakan kempen untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Perdana dengan menentang West Bromwich Albion, malam ini.

Gol minit ke-87 dihasilkan Christian Eriksen (gambar) di Sheffield United Rabu lalu membolehkan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu layak ke final Piala Liga musim ini.

Kemenangan itu membolehkan mereka bertemu Chelsea di Wembley, 1 Mac ini selain turut dijadual menentang Fiorentina pada aksi timbal balik Liga Europa.

Andai mengungguli Liga Europa tahun ini, tempat Tottenham dalam saingan Liga Juara-Juara sudah terjamin, tetapi kunjungan ke The Hawthorns malam ini memberi peluang buat mereka memintas Arsenal yang akan bermain malam esok.

“Buat masa ini, kami akan menikmati apa yang sudah dicapai, tapi kami sedar cabaran masih belum berakhir. Kami ada perlawanan untuk dihadapi,” kata penyerang Harry Kane.

“Kami sudah layak ke final pertandingan penting dan kami mahu menggunakan dorongan semangat itu untuk memperbaiki kedudukan kami di dalam liga.”

Kebanyakan kejayaan Tottenham musim ini dijana jaringan Eriksen yang seakan-akan mempunyai tabiat suka menjaringkan gol lewat permainan dan perkara itu pasti tidak akan terlepas daripada pandangan pengurus West Brom Tony Pulis.

“Kami sering mencapai kejayaan menerusi kaedah sukar dan keadaan itu pasti tidak berubah,” kata pertahanan Spurs Kyle Walker.

“Dia sering melakukan jaringan pada lewat permainan. Apabila dia bermain, anda boleh bertaruh apa saja kerana amat jarang dia terlepas menjaringkan gol. Dia boleh mengulanginya pada setiap perlawanan.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:17 AM