MAYAT mangsa terjatuh dalam mesin pembancuh simen. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa terjatuh dalam mesin pembancuh simen. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis mengesahkan penemuan mayat lelaki di dalam sebuah mesin pembancuh simen di sebuah kilang di Seksyen 35 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 11.44 pagi daripada orang awam.

"Siasatan dan pemeriksaan ke atas badan mangsa berusia 50-an mendapati tangan sebelah kanan dari paras siku dan kepala terputus.

"Mangsa dipercayai terjatuh sendiri ke dalam tangki bancuhan simen dan terkena bilah pembancuh simen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, identiti mangsa sudah dikenal pasti oleh waris melalui pengecaman tatu pada lengan sebelah kiri.

"Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menjalankan proses bedah siasat.

"Siasatan dijalankan mengikut laporan kematian mengejut (SDR)," katanya.

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 7:44 PM