MAYAT lelaki ditemui terapung di Kunci Air Sungai Klang. FOTO ihsan Polis
MAYAT lelaki ditemui terapung di Kunci Air Sungai Klang. FOTO ihsan Polis
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Satu mayat lelaki ditemui terapung di Kunci Air Sungai Klang, Jalan Kerapu, Seksyen 17, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam 11.56 pagi semalam.

"Hasil siasatan awal mendapati si mati adalah seorang lelaki warganegara Nepal melalui salinan passport yang ditemui padanya.

"Pemeriksaan oleh pihak Forensik Selangor mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh yang boleh menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mayat dihantar ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat, hari ini.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 12:40 PM