LELAKI diburu polis selepas disyaki merakam seorang wanita dalam tandas di sebuah pusat beli-belah di Jalan Haji Saman. FOTO ihsan polis
LELAKI diburu polis selepas disyaki merakam seorang wanita dalam tandas di sebuah pusat beli-belah di Jalan Haji Saman. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis memburu seorang lelaki selepas disyaki merakam seorang wanita di dalam tandas di sebuah pusat beli-belah bebas cukai di Jalan Haji Saman, di sini, 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 20 tahun, jam 3.34 petang pada 7 April lalu.

Katanya, siasatan mendapati mangsa menyedari ada individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu tandas pada jam 8.40 malam.

"Tindakan suspek itu dipercayai untuk merakam gambar atau video mangsa di dalam tandas berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah mendapati suspek seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan memakai baju berwarna hitam serta berseluar coklat ketika kejadian.

"Suspek mempunyai misai dan berjanggut nipis serta berselipar.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan individu dalam rakaman CCTV ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 11:40 AM