SUSPEK mencari sasaran dengan membawa beg kertas kosong.
SUSPEK mencari sasaran dengan membawa beg kertas kosong.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Sekumpulan ‘toyol’ lelaki warga Amerika Latin dikesan aktif melakukan jenayah curi beg tangan pelanggan pusat beli-belah dengan bermodalkan beg kertas kosong.

Pencuri profesional berusia lingkungan 40-an itu dikesan gemar menyamar berpakaian kemas menyerupai eksekutif untuk mengaburi kegiatan jenayah dilakukan.

Sumber berkata, dalam kejadian terbaru jam 2 petang kelmarin, seorang wanita berusia 55 tahun menjadi mangsa kumpulan penjenayah itu selepas beg tangannya dilarikan suspek di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Serdang di sini.

“Kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu sempat merakam pergerakan ketiga-tiga suspek berpakaian kemas dan membawa beg sandang di pusat beli-belah itu.

“Dua suspek dilihat masuk terlebih dahulu ke dalam pusat beli-belah untuk ‘memburu’ mangsa sebelum seorang lagi suspek dilihat muncul membawa beg kertas kosong,” katanya.

Menurutnya, suspek ketiga itu kemudian dilihat tergesa-gesa meninggalkan pusat beli-belah itu sambil membawa beg kertas berisi beg tangan dicuri daripada mangsa.

“Berikutan kejadian itu mangsa kerugian lebih RM1,000 selepas beg tangannya dilarikan suspek ketika dia makan di sebuah restoran di pusat beli- belah itu.

“Mangsa mendakwa meletakkan beg tangannya di atas kotak kasut di bawah meja makan sebelum beg itu dilarikan suspek tanpa disedarinya,” katanya.

Dia berkata, penjenayah gemar memilih mangsa yang lalai dan menjamu selera di restoran.

“Beg tangan yang diletakkan di dalam troli, bawah meja atau sebelah kerusi berhampiran mangsa kerap menjadi sasaran suspek.

“Kebiasaannya suspek menunggu di luar premis sementara dua rakannya membayar tiket tempat letak kereta,” katanya.

Menurutnya, polis kini memburu suspek yang dipercayai masih melakukan kegiatan jenayah terancang di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:25 AM