Omar menunjukkan lelaki yang diburu polis susulan pergaduhan di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu semalam. FOTO Fardy Bungga
Omar menunjukkan lelaki yang diburu polis susulan pergaduhan di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu semalam. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


POLIS memburu lelaki dikenali ‘Derek’ dipercayai suspek utama insiden pergaduhan di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, lelaki berusia 40 tahun terbabit dikatakan punca utama pergaduhan itu berlaku selepas menyerang mangsa dan dua rakannya menggunakan besi serta buku lima.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, siasatan awal menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa bersama dua rakannya minum di tempat kejadian.

Bagaimanapun katanya, mangsa tiba-tiba didatangi suspek yang terus bertindak menyerang dan memukul mangsa serta dua rakannya.

“Mangsa cedera pada muka, kepala dan badan. Kejadian juga mencetuskan pergaduhan lebih besar selepas pembabitan rakan kedua-dua kumpulan itu.

“Hasil keterangan mangsa, dia mengaku mengenali suspek namun tidak mengetahui punca sebenar diserang oleh suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Omar berkata, polis juga sudah mengenalpasti beberapa lagi suspek lain dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan dan anggaran kerugian pemilik kedai di tempat kejadian masih dalam siasatan polis.

Sehubungan itu, Omar meminta suspek utama dalam insiden itu tampil menyerah diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Berita berkaitan

'Bertempur' dalam pusat beli-belah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 2:56 PM