FADHLINA menyampaikan sumbangan kepada penerima pada majlis berbuka puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan hari ini. FOTO Bernama
FADHLINA menyampaikan sumbangan kepada penerima pada majlis berbuka puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan hari ini. FOTO Bernama
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan dengan seorang pelajarnya direhatkan dari tugas sehingga siasatan berhubung kes terhadapnya selesai.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata guru itu perlu mematuhi semua proses siasatan terlebih dahulu sebelum tindakan di peringkat kementerian (KPM) diambil.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan polis dan pihaknya memberikan sepenuhnya komitmen kepada pihak berkuasa terbabit untuk menyiasat.

"Ia masih dalam siasatan di peringkat polis, maka sebab itu saya tegaskan berulang kali bahawa KPM memberikan sepenuh komitmen kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Pada masa sama, kami (KPM) ketika ini mengambil pendekatan untuk melindungi anak-anak kita sepenuhnya.

"Jadi guru (wanita) itu tidak ada langsung (cara) untuk akses (berjumpa) dengan pelajar terbabit kerana kita (telah melindunginya)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan siasatan kes seorang guru wanita yang didakwa bercinta dengan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun hingga tular di media sosial.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM140,000 bagi meraikan 21 masjid, 56 surau dan 126 individu terdiri daripada imam, bilal dan siak seluruh Parlimen Nibong Tebal.

Media sebelum ini melaporkan seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff dilaporkan berkata, polis menerima laporan pada 12 Disember lalu mendakwa suspek yang berusia 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji bersama guru terbabit di perpustakaan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 8:18 PM